Tipu pembelian hartanah RM30,000, lelaki dipenjara setahun

16 Nov 2026, 7:56 AM
Tipu pembelian hartanah RM30,000, lelaki dipenjara setahun

SHAH ALAM, 16 NOV: Seorang lelaki dihukum penjara setahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret, Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku bersalah menipu seorang selebriti lelaki dalam urusan pembelian hartanah membabitkan RM30,000.

Tertuduh, Al Zulfadly Alias, 40, yang sebelum ini disyaki menyamar sebagai juruiring Raja Muda Selangor, dijatuhi hukuman itu oleh Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman penjara berjalan serentak bermula tarikh tangkap.

Sementara itu, tunangnya, Nurul Nur Syahirah Kamarudin, 37, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan secara bersama.

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya yang tidak bekerja didakwa bersama-sama memperdaya seorang selebriti lelaki berhubung tawaran pembelian aset hartanah sehingga mendorong mangsa memindahkan RM30,000 ke akaun bank Al Zulfadly pada 10 dan 12 Mei 2024.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan penjara setahun hingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farhanah Arul Hisham memohon hukuman setimpal terhadap Al Zulfadly, manakala peguam Mohd Ridzwan Warisi merayu hukuman minimum atas alasan tertuduh menanggung ibu dan pengakuan bersalah menjimatkan masa mahkamah.

Peguam Nurul Nur Syahirah, Shah Rizal Abdul Manan pula memohon jaminan minimum memandangkan anak guamnya tidak bekerja dan ditanggung ibu bapa.

“Anak guam saya sudah dipertuduhkan di Mahkamah Majistret Shah Alam dengan satu tuduhan pada Khamis lalu dan mahkamah benarkan jaminan RM10,000.

“Pada Jumaat lalu, tertuduh dituduh satu lagi pertuduhan di Mahkamah Majistret Klang dan mahkamah benarkan jaminan RM8,000 serta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis sebulan sekali. Bapa tertuduh yang juga pesara sudah membayar jaminan bagi kedua-dua kes itu.

“Sebentar tadi, dia baru didakwa atas empat tuduhan lain di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan dibenarkan jaminan RM15,000. Saya mohon jaminan minimum,” katanya seperti dilapor BH.

Mahkamah kemudian membenarkan Nurul Nur Syahirah diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Disember depan bagi sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.