75,578 mesin perlombongan kripto dirampas sejak 2022

8 Jul 2026, 9:21 AM
75,578 mesin perlombongan kripto dirampas sejak 2022

KUALA LUMPUR, 8 JULAI: Sebanyak 75,578 mesin perlombongan mata wang kripto dirampas dalam 3,049 serbuan di seluruh negara bagi tempoh 2022 hingga Mei 2026.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata 629 tangkapan turut dibuat hasil operasi yang dijalankan secara bersepadu membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi berkaitan.

"Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus memperkukuh strategi penguatkuasaan menerusi kerjasama strategik dengan pelbagai agensi termasuk TNB di samping meningkatkan keupayaan risikan dan penggunaan teknologi bagi mengesan lokasi berisiko sebelum operasi dijalankan.

“Ini penting bagi memastikan tindakan kita lebih pantas dan tepat,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) mengenai pemantauan aktiviti perlombongan mata wang kripto secara haram termasuk jumlah kerugian TNB.

Shamsul Anuar berkata kegiatan perlombongan mata wang kripto haram terus berlaku berikutan permintaan terhadap aset digital itu masih tinggi selain turun naik nilainya yang dilihat mampu memberikan pulangan lumayan kepada sindiket.

Bagaimanapun katanya, faktor keuntungan tidak boleh dijadikan alasan untuk menjalankan aktiviti yang melanggar undang-undang, khususnya membabitkan penyambungan bekalan elektrik secara haram bagi mengurangkan kos operasi.

“Mata wang kripto di Malaysia adalah sah untuk dimiliki dan didagangkan namun tidak diiktiraf sebagai mata wang yang sah.

“Aktiviti perlombongan mata wang kripto menjadi kesalahan apabila melibatkan penyambungan elektrik secara haram, pengubahsuaian meter, pencerobohan sistem bekalan elektrik atau operasi tanpa lesen,” katanya.

Beliau berkata aset digital itu dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) di bawah perundangan berkaitan aset digital, manakala Bank Negara Malaysia (BNM) memantau aspek kestabilan kewangan, sistem pembayaran serta pematuhan terhadap keperluan anti-pengubahan wang haram.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.