SHAH ALAM, 12 NOV: Polis menumpaskan 112 sindiket penipuan menerusi pusat panggilan (call centre) dengan 932 individu ditahan dalam Op Magpie 01/2026 yang dilaksanakan serentak di seluruh negara dari 19 hingga 31 Oktober lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Rusdi Mohd Isa berkata 153 serbuan dilaksanakan sepanjang operasi berkenaan, melebihi sasaran awal 100 serbuan, selain 650 pemeriksaan premis secara proaktif.
“Daripada 932 individu yang ditahan, 106 adalah warganegara Malaysia manakala 826 lagi warga asing. Tangkapan membabitkan 796 lelaki dan 136 wanita,” katanya dalam sidang media di sini, lapor Harian Metro.
Menurut Rusdi, warga China mencatatkan tangkapan tertinggi dengan 538 individu, diikuti Vietnam (93), Taiwan (40), Indonesia (36), Jepun (21), Pakistan (18) serta Myanmar dan Filipina masing-masing 14 orang.
Beliau berkata 106 serbuan atau 69.28 peratus dijalankan di kondominium, diikuti 34 di premis perumahan, lapan di resort atau hotel serta lima lagi di bangunan pejabat, rumah kedai dan gudang.
“Analisis awal turut mengenal pasti 136 rekod modus operandi penipuan, dengan Pelaburan Tidak Wujud dan Love Scam masing-masing mencatatkan 27 rekod, diikuti Phone Scam (25), Judi Dalam Talian (16) serta Tawaran Kerja Tidak Wujud (11),” katanya.
Tambahnya, sindiket terbabit turut menyasarkan mangsa di luar negara dengan 130 daripada 144 rekod sasaran negara membabitkan mangsa antarabangsa, terutama China yang mencatatkan 62 rekod, diikuti Amerika Syarikat (12), Vietnam dan Indonesia masing-masing tujuh serta Jepun dan Hong Kong SAR masing-masing enam.
Dalam operasi sama, polis merampas 2,058 telefon bimbit, 433 komputer riba atau tablet, 161 komputer atau monitor, 112 router atau modem, 40 pasport atau visa, tujuh kenderaan serta wang tunai RM102,635, selain pelbagai dokumen dan peralatan berkaitan.
Rusdi berkata 117 kertas siasatan dibuka dengan 70 masih dalam siasatan manakala 45 sudah dibawa ke peringkat pertuduhan di mahkamah.
Daripada keseluruhan tangkapan, 809 individu dikenal pasti sebagai operator atau petugas khidmat pelanggan manakala 70 lagi penyelia atau ketua kumpulan.
Beliau berkata siasatan diteruskan bagi mengesan dalang utama dan pihak yang menguruskan operasi serta kewangan sindiket.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak berkongsi maklumat perbankan, kata laluan, OTP atau TAC dengan individu tidak dikenali dan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 serta membuat laporan polis jika mengesyaki menjadi mangsa penipuan.







