Hutang negara, konflik Asia Barat tumpuan sidang Dewan Rakyat hari ini

12 Nov 2026, 12:54 AM
Hutang negara, konflik Asia Barat tumpuan sidang Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Kedudukan hutang negara dan keupayaan fiskal kerajaan mendepani kemungkinan konflik di Asia Barat yang semakin meruncing selain isu hubungan perdagangan serta pelaburan Malaysia-Taiwan antara tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) akan meminta Perdana Menteri menjelaskan faktor hutang negara masih belum dapat dikurangkan ke paras lebih mampan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT).

Beliau juga ingin tahu kedudukan fiskal semasa negara bagi membolehkan kerajaan melaksanakan langkah intervensi bagi melindungi ekonomi dan kesejahteraan rakyat sekiranya konflik di Asia Barat semakin meruncing.

Pada sesi sama, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) meminta penjelasan Perdana Menteri berhubung laporan mengenai tindakan Taiwan menggantung rundingan pelaburan dengan Malaysia susulan kenyataan beliau yang menyifatkan Taiwan sebagai sebahagian daripada China serta perkembangan itu terhadap hubungan perdagangan dua hala dan aliran pelaburan sedia ada antara Malaysia dan Taiwan.

Sementara itu, pada sesi soal jawab lisan, Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) meminta Menteri Dalam Negeri menjelaskan syarat khusus yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi menjalani baki hukuman melalui kaedah tahanan rumah hingga 23 Ogos 2028 dan agensi yang bertanggungjawab memantau pematuhan syarat berkenaan.

Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) pula meminta Menteri Ekonomi menyatakan perkembangan terkini pelaksanaan teknologi Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) khususnya kapasiti penyimpanan, kemajuan infrastruktur serta perancangan pembangunan Kerteh di Terengganu sebagai hab CCUS negara menjelang 2030.

Turut menarik perhatian ialah pertanyaan Tan Kok Wai (PH-Cheras) kepada Menteri Luar mengenai tindakan susulan pelaksanaan Kenyataan Bersama Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China 2025 dan jadual penganjuran sidang kemuncak kedua.

Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) pula meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menjelaskan kemungkinan kelonggaran diberikan kepada Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) untuk melanjutkan waktu pembelian padi ketika musim menuai termasuk mekanisme pemantauan bagi melindungi kepentingan dan pendapatan pesawah.

Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) juga meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan perancangan kerajaan memperkukuh sistem pengairan dan saliran di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) khususnya bagi mendepani ketidaktentuan hujan serta paras empangan rendah termasuk penggunaan pemantauan masa nyata, pemulihan infrastruktur uzur dan sumber air alternatif bagi menjamin jadual penanaman.

Selain itu, Datuk Siti Aminah Aching (BN-Beaufort) akan meminta Perdana Menteri menyatakan peratusan pengisian jawatan Persekutuan di Sabah dan Sarawak oleh anak tempatan khususnya dalam kumpulan profesional dan pengurusan serta sasaran Borneonisasi bagi tempoh lima tahun akan datang.

Usai sesi soal jawab, Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan dan jawapan kementerian bagi Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 di peringkat jawatankuasa.

Persidangan Dewan Rakyat berlangsung selama 37 hari hingga 8 Dis ini.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.