SHAH ALAM, 21 OKT: Sebanyak 103 siri operasi dan pemeriksaan dilaksanakan di perairan Selangor sejak 2025 bagi menangani pencerobohan bot pukat tunda dan pukat jerut yang mengancam sumber pendapatan nelayan persisiran pantai.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memaklumkan perkara itu menerusi jawapan bertulis Parlimen pada 20 Oktober bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali.
Tambah kementerian lagi, 11 operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan lain turut dilaksanakan bagi menangani isu berkenaan.
Bagi memperkukuh penguatkuasaan, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) bekerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) untuk meningkatkan pemantauan serta mengambil tindakan terhadap pihak yang menceroboh zon penangkapan ikan atau melanggar syarat lesen.
Sepanjang tempoh 2021 hingga 2025, kompaun berjumlah RM310,350 turut dikeluarkan di Selangor atas pelbagai kesalahan mengikut perundangan perikanan.
Selain operasi penguatkuasaan, kerajaan menggunakan Sistem Pemantauan Vesel (VMS) bagi memantau pergerakan bot, selain melabuhkan tukun tiruan yang turut berfungsi sebagai penghalang aktiviti pukat tunda di kawasan tertentu.
Pada 2026, sebanyak 18 unit tukun tiruan tambahan dilabuhkan di perairan Selangor dengan peruntukan RM500,000.
Menjawab soalan Dr Halimah berhubung langkah melindungi nelayan persisiran pantai daripada pencemaran industri dan pencerobohan bot besar, kementerian menjelaskan kawalan serta pemantauan pencemaran industri terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) berdasarkan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
DOF bagaimanapun bersedia bekerjasama dengan JAS dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam siasatan kes pencemaran atau kematian ikan, termasuk memberikan input teknikal mengenai kesannya terhadap sumber perikanan dan ekosistem akuatik.
Sementara itu, bagi penambahbaikan kemudahan nelayan di Kapar, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) diluluskan peruntukan RM200,000 pada 2026 untuk membaik pulih jeti laluan kayu dan kerja berkaitan di Jeti Nelayan Tok Muda.
Bagaimanapun, pelaksanaan kerja berkenaan tidak dapat diteruskan berikutan kekangan teknikal dan keselamatan di tapak.
Kementerian memaklumkan LKIM akan terus meneliti keperluan menaik taraf atau membina kemudahan jeti dan pendaratan ikan di kawasan Parlimen Kapar, tertakluk kepada keperluan komuniti nelayan, kesesuaian tapak, kelulusan tanah serta keutamaan pembangunan dan ketersediaan peruntukan kerajaan.







