Politik kebencian, janji tidak ditepati buat anak muda semakin jemu

10 Nov 2026, 1:00 AM
Politik kebencian, janji tidak ditepati buat anak muda semakin jemu

KLEBANG, 10 NOV: Budaya politik kebencian, serangan melulu terhadap pihak lawan serta janji pilihan raya yang tidak ditunaikan antara faktor menyebabkan sebahagian anak muda semakin jemu dengan perkembangan politik negara.

Ahli Parlimen Belia Malaysia, Harris Daniel Hermee berpandangan keadaan itu boleh menjejaskan keyakinan generasi muda terhadap kepimpinan apabila persaingan politik dilihat lebih tertumpu kepada populariti individu berbanding isu yang menyentuh kepentingan rakyat.

Menurutnya, kekecewaan itu semakin dirasai apabila janji yang ditawarkan ketika pilihan raya gagal diterjemahkan kepada tindakan, sekali gus menimbulkan tanggapan bahawa tiada perbezaan antara ahli politik merentas parti.

“Ada anak muda yang rasa politik ini semua sama sebab mungkin janji-janji yang ditawarkan dalam pilihan raya, mereka (ahli politik) tak dapat nak tunaikan jadi itu yang membawa kerugian,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Media Selangor, baru-baru ini.

Harris turut mengakui gelagat segelintir ahli politik di media sosial yang lebih menonjolkan usaha membina populariti mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan anak muda.

Harris Daniel Hermee, 28, ketika ditemu bual Media Selangor berkenaan politik semasa di Encore Melaka, Melaka pada 8 November 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Sekarang ini di media sosial banyak memaparkan perangai (ahli politik) atau hantaran yang mungkin untuk menaikkan nama mereka jadi ada anak muda yang menolak dan istilah menyampah itu memang wujud.

“Kita sebagai rakyat atau orang muda kadang-kadang boleh menilai perkara itu dan pemimpin yang seperti ini kita tidak mahukan. Cuma kita perlu lihat sama ada itu adalah watak sebenar atau sekadar lakonan untuk membina jenama mereka,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menekankan keperluan memperkukuh literasi politik supaya anak muda tidak sekadar terpengaruh dengan polemik semasa, sebaliknya mampu menilai dasar, tawaran kepimpinan dan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Perkara atau pemahaman berkaitan politik ini perlu difahami dan perlu dijelaskan melalui program-program kolaborasi. SPR khususnya dan agensi-agensi yang neutral, mereka akan cuba buat satu program berkaitan pemahaman politik, mengapa perlu keluar mengundi, mengapa perlu pilih parti dan calon,” katanya.

Kebimbangan terhadap budaya politik negatif itu turut dikongsi Eelda Nur Andreanna, 22, yang berpandangan pendekatan saling memburukkan pihak lawan dan penggunaan sentimen ketika pilihan raya bukan sesuatu yang diharapkan generasi muda.

Eelda Nur Andreanna, 22 ketika ditemu bual Media Selangor berkenaan politik semasa di Encore Melaka, Melaka pada 8 November 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Menurutnya, anak muda kini mampu menilai tindakan ahli politik tanpa perlu berpihak kepada mana-mana parti, sebaliknya mahukan persaingan politik yang lebih matang.

“Nak rasa menyampah itu mungkin tidak tetapi kita sudah mampu menilai. Contohnya macam sekaranglah, kita tak menyebelahi mana-mana parti tetapi kalau nak bertanding mesti nak memburukkan, gunakan sentimen dan naratif untuk burukkan antara satu sama lain.

“Kita tak mahukan situasi itu. Jadi untuk anak muda kita perlu wujudkan politik yang baharu. Ini adalah tanggungjawab untuk pilih pimpinan seterusnya untuk generasi akan datang,” katanya.

Dalam landskap politik yang semakin dipengaruhi media sosial, penyebaran kandungan berunsur provokasi turut menjadi cabaran terhadap usaha membentuk perbincangan politik yang matang.

Menurut laporan Digital 2026 oleh DataReportal, We Are Social dan Meltwater, Malaysia mempunyai kira-kira 30.7 juta identiti pengguna media sosial pada Oktober 2025.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dilaporkan menurunkan 101 hantaran berunsur provokasi, manakala 12 kertas siasatan dibuka.

Sepanjang 2022 hingga 30 April 2026 pula, sebanyak 8,540 kandungan berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R) diturunkan daripada pelbagai platform media sosial, menurut data yang dimaklumkan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching di Parlimen.

Selain budaya politik, perhatian terhadap masa depan dan kebajikan anak muda turut menjadi tuntutan utama golongan berkenaan.

Bagi Ahmad@Abdul Haiyee Hassan, 26, penglibatan generasi muda dalam politik perlu diberi makna lebih besar daripada sekadar menyumbang kepada jumlah pengundi ketika pilihan raya.

Menurutnya, anak muda mahu pandangan mereka didengari selain mengharapkan penyelesaian terhadap isu yang dekat dengan kehidupan, termasuk peluang pekerjaan, pendapatan lebih baik dan kerenah birokrasi.

Ahmad@Abdul Haiyee Hassan, 26 ketika ditemu bual Media Selangor berkenaan politik semasa di Encore Melaka, Melaka pada 8 November 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Buka lebih banyak peluang kepada anak muda ini untuk salurkan pandangan mereka secara terus, kita tahu generasi muda hari ini terutamanya generasi Z berpandukan teknologi.

“Mereka mahu kerenah birokrasi itu dikurangkan dan mampu untuk berhubung terus dengan pimpinan yang telah dipilih.

“Anak muda nak lihat bagaimana untuk dapat peluang pekerjaan yang baik selepas tamat pengajian dan untuk dapatkan gaji yang lebih selesa,” katanya.

Untuk rekod, pendaftaran pemilih secara automatik bagi warganegara yang mencapai usia 18 tahun mula berkuat kuasa pada 15 Disember 2021.

Bagi September 2026 sahaja, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan 44,987 pemilih baharu yang didaftarkan secara automatik.

Berdasarkan data SPR pada 2023, lebih enam juta pengundi terdiri daripada golongan belia berusia antara 18 hingga 30 tahun.

Pertambahan pengundi muda itu memperlihatkan kepentingan penglibatan mereka dalam proses demokrasi, sekali gus mengukuhkan keperluan untuk memberi perhatian kepada pandangan dan isu yang mempengaruhi kehidupan generasi berkenaan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.