ad

Pesara rugi lebih setengah juta ditipu sindiket pelaburan tidak wujud

29 Sep 2025, 9:00 AM
Pesara rugi lebih setengah juta ditipu sindiket pelaburan tidak wujud

KUALA TERENGGANU, 29 SEPT: Pesara rugi RM525,000 selepas diperdaya sindiket pelaburan mata wang kripto tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pada 23 Mei lalu, lelaki berusia 71 tahun itu melihat iklan pelaburan mata wang kripto di laman sosial Facebook.

Beliau berkata mangsa yang berhubung secara dalam talian dengan suspek membuat pelaburan RM525,000 selepas dijanjikan pulangan USD 500,000.

"Mangsa, yang merupakan bekas pengarah Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD), membuat tujuh transaksi ke akaun suspek dari 20 hingga 27 Ogos lalu menggunakan wang simpanan persaraannya sendiri.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Polis menasihati orang ramai sentiasa berwaspada dengan pelbagai taktik penipuan dalam talian dan di media sosial," katanya.

- BERNAMA