Usia bukan penghalang, wanita 50-an tekuni seni qasidah

8 Nov 2026, 2:00 AM
Usia bukan penghalang, wanita 50-an tekuni seni qasidah
Usia bukan penghalang, wanita 50-an tekuni seni qasidah
Usia bukan penghalang, wanita 50-an tekuni seni qasidah
Usia bukan penghalang, wanita 50-an tekuni seni qasidah
Usia bukan penghalang, wanita 50-an tekuni seni qasidah

SHAH ALAM, 8 NOV: Usia bukan penghalang bagi lebih 40 wanita berusia 50 tahun ke atas untuk terus aktif mempelajari dan mengimarahkan seni qasidah, sekali gus membantu mengekalkan warisan seni Islam yang semakin kurang mendapat perhatian generasi muda.

Menerusi Kumpulan Qasidah Raudhah Hubabatul Habib, mereka berkumpul setiap malam Isnin di Teratak DF, Kampung Padang Jawa, di sini, untuk berselawat dan mengalunkan qasidah dengan iringan paluan kompang serta rebana.

Kumpulan yang aktif sejak Ogos lalu itu bukan sahaja menjadi wadah untuk ahli mendalami seni qasidah, malah membuka ruang kepada penduduk setempat mengisi masa lapang dengan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.

Ahli Kumpulan Qasidah Raudhah Hubabatul Habib menghayati bait-bait senikata qasidah dengan teliti semasa sesi latihan di Anjung Tamu Teratak DF, Kampung Padang Jawa, Shah Alam pada 2 November 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Bagi ketuanya, Datin Siti Zubaidah Mat Piah, penubuhan kumpulan berkenaan juga bagi memenuhi hasrat arwah ibu mentuanya yang mahu aktiviti kemasyarakatan terus dihidupkan demi manfaat penduduk setempat.

Menurutnya, kumpulan itu bermula dengan hanya 17 ahli, kebanyakannya wanita yang mempunyai pengalaman menyertai aktiviti marhaban, sebelum keahliannya meningkat kepada lebih 40 orang selepas usaha memperkenalkannya kepada masyarakat.

Ketua Kumpulan Qasidah Raudhah Hubabatul Habib, Datin Siti Zubaidah Mat Piah

"Ibu mentua mahu tubuhkan kumpulan qasidah dan saya mahu tunaikan hasratnya. Saya juga mahu penduduk di sini mengisi masa lapang dengan aktiviti berselawat, selain dapat mengeratkan hubungan sesama Islam.

"Pada masa sama, saya mahu membantu ahli kumpulan sekiranya berlaku sebarang kejadian atau musibah, termasuk kematian. Saya mahu beri peluang kepada mereka untuk bersama-sama melakukan aktiviti kemasyarakatan yang bermanfaat dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

"Kita bermula dengan 17 orang sahaja, tetapi selepas ramai mengetahui dan usaha ini diuar-uarkan, semakin ramai berminat untuk menyertai kumpulan ini," katanya kepada Media Selangor.

Bagaimanapun, mengendalikan kumpulan yang kebanyakannya bermula tanpa pengetahuan asas dalam seni qasidah bukanlah sesuatu yang mudah.

Suasana sekitar sesi latihan Kumpulan Qasidah Raudhah Hubabatul Habib yang disertai lebih 40 ahli di Anjung Tamu Teratak DF, Kampung Padang Jawa, Shah Alam pada 2 November 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Siti Zubaidah berkata, beliau bersama suaminya yang juga pengasas kumpulan itu, Dato’ Mohd Fairus Mohamed Urep, mengambil inisiatif mendapatkan khidmat tenaga pengajar bagi memastikan setiap ahli mempelajari teknik nyanyian, sebutan dan penggunaan instrumen dengan betul.

Menurutnya, cabaran utama adalah membantu ahli menyesuaikan lontaran suara dengan ton yang tepat serta menguasai rentak dan permainan instrumen, memandangkan kebanyakan mereka sebelum ini lebih biasa dengan marhaban yang tidak menggunakan iringan muzik.

"Semua ahli memang sangat komited dan kehadiran tidak menjadi masalah. Cuma cabarannya apabila mereka perlu belajar bermain instrumen dan melontarkan suara mengikut ton yang betul.

"Marhaban lebih mendatar, sedangkan qasidah memerlukan kita mengikut rentak. Sebab itu, kita mendapatkan ustaz bertauliah untuk mengajar sebutan dan permainan instrumen.

"Biasalah, ada juga yang tersasar sedikit kerana semuanya bermula daripada kosong. Namun, melalui latihan, kemampuan mereka semakin baik dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau turut mengakui ada ahli yang pada awalnya berasa bimbang tidak mampu menguasai seni berkenaan, namun memberi keyakinan bahawa mereka boleh belajar secara berperingkat.

Suasana sekitar sesi latihan Kumpulan Qasidah Raudhah Hubabatul Habib di Anjung Tamu Teratak DF, Kampung Padang Jawa, Shah Alam pada 2 November 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Lebih daripada sekadar menghimpunkan wanita berusia, Siti Zubaidah turut berusaha menarik penyertaan golongan muda supaya seni qasidah terus berkembang dan tidak terhenti dalam kalangan generasi terdahulu.

Antara langkah awal yang dilakukannya adalah mengajak anak sendiri menyertai kumpulan itu bersama rakan-rakannya sebagai contoh kepada golongan muda lain.

"Alhamdulillah, kini ada empat hingga lima orang anak muda menyertai kumpulan ini. Itu yang saya terapkan supaya lebih ramai golongan muda turut serta dalam program seperti ini.

"Tidak mudah untuk memulakan sesuatu yang jarang dilakukan orang lain. Namun, sokongan semua pihak termasuk suami dan ahli kumpulan amat penting. Saya sendiri seronok meneruskan latihan dan berharap suatu hari nanti kami berpeluang menerima jemputan untuk membuat persembahan," katanya.

Ahli Kumpulan Qasidah Raudhah Hubabatul Habib bermain gendang utama dengan penuh tenaga dan tumpuan, sambil diiringi pukulan irama perkusi semasa sesi latihan di Anjung Tamu Teratak DF, Kampung Padang Jawa, Shah Alam pada 2 November 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Bagi ahli kumpulan, Juriah Bunu, 62, penyertaan dalam aktiviti qasidah bukan sekadar mengisi masa lapang, sebaliknya menjadi peluang mengeratkan silaturahim dan mendekatkan diri kepada agama.

Katanya, beliau yang sebelum ini aktif dalam kumpulan marhaban pada awalnya berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan seni qasidah, khususnya dari segi sebutan dan rentak.

Ahli Kumpulan Qasidah Raudhah Hubabatul Habib, Juriah Bunu

"Pada mulanya saya ditawarkan untuk menyertai kumpulan ini. Saya daripada kumpulan marhaban sahaja, jadi saya cuba sertai. Awalnya memang susah kerana sebutan perlu betul. Kalau marhaban, kita hanya menyanyi, tetapi lama-kelamaan saya semakin seronok.

"Latihan seminggu sekali tidak membebankan kerana kumpulan marhaban pun ada latihan sekiranya menerima jemputan. Melalui latihan ini, saya dapat berjumpa rakan-rakan kerana pada hari biasa masing-masing sibuk, terutama pada waktu siang," katanya.

Seorang lagi ahli, Noor Hayati Kasim, 52, berkata antara cabaran yang dihadapinya adalah menyesuaikan diri dengan rentak qasidah selain menjaga sebutan dan kesihatan suara sepanjang latihan.

Ahli Kumpulan Qasidah Raudhah Hubabatul Habib, Noor Hayati Kasim

Katanya, berbeza dengan marhaban, qasidah memerlukan ahli mengikut iringan muzik dan memastikan sebutan setiap bait lagu dilafazkan dengan tepat.

"Marhaban tidak menggunakan muzik, berbeza dengan qasidah yang perlu mengikut rentak. Semua perkara perlu dijaga, terutama sebutan supaya betul.

"Saya pernah kehilangan suara kerana terlalu banyak mengeluarkan suara ketika latihan. Tiada petua khusus, cuma saya amalkan minum air suam atau air panas untuk menjaga suara kerana latihan diadakan setiap minggu," ujarnya.

Barisan penyanyi utama Kumpulan Qasidah Raudhah Hubabatul Habib mengalunkan selawat dan bait qasidah ketika sesi latihan di Anjung Tamu Teratak DF, Kampung Padang Jawa, Shah Alam pada 2 November 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, tenaga pengajar kumpulan berkenaan, Andi Rusli, 36, berkata ahli kumpulan menunjukkan perkembangan positif dan mampu menguasai sebutan yang diajarkan meskipun kebanyakannya berusia lebih 50 tahun.

Menurutnya, antara qasidah yang dipelajari termasuk Waqtus Sahar yang berkaitan kelahiran Nabi Muhammad SAW serta Rohatul yang mengisahkan sejarah baginda.

Tenaga Pengajar Kumpulan Qasidah Raudhah Hubabatul Habib, Andi Rusli

"Qasidah ini sebenarnya bukan untuk warga emas sahaja, sebaliknya terbuka kepada semua. Saya tanamkan dalam diri ahli kumpulan ini supaya mereka mencintai amalan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

"Pada awalnya, memang ada sebutan yang kurang tepat selain mereka tidak mempunyai pengetahuan tentang instrumen. Namun, mereka cepat belajar dan mudah menguasainya. Saya bangga dengan pencapaian mereka," katanya.

Tenaga Pengajar, Andi Rusli membaca doa pembuka sebelum sesi latihan Kumpulan Qasidah Raudhah Hubabatul Habib di Anjung Tamu Teratak DF, Kampung Padang Jawa, Shah Alam pada 2 November 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.