Biro Guaman dan Aduan Awam Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK Malaysia) mempersoalkan kenyataan bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo, yang mengaitkan banjir di Shah Alam dengan pembatalan projek Canal City.
Walaupun beliau mendakwa projek tersebut mampu mengelakkan banjir besar selama 100 tahun, dakwaan itu tidak boleh dianggap sebagai suatu kepastian tanpa penilaian teknikal yang mengambil kira keadaan semasa.
Untuk rekod, pembatalan Canal City turut mengambil kira penilaian awal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor ketika itu. Dasar tebatan banjir hari ini perlu berpandukan data hujan terkini, kapasiti sungai, pembangunan serta pengaruh pasang surut air laut.
Sebagai Ahli Majlis MBSA yang turut berada di lapangan ketika kejadian banjir baru-baru ini, saya menyaksikan sendiri usaha pasukan teknikal memastikan sistem pam beroperasi. Saya turut memahami keresahan penduduk yang berulang kali terjejas.
Kerajaan Negeri Selangor di bawah kepimpinan Dato' Seri Amirudin Shari telah menambah peruntukan RM70 juta bagi 255 projek mitigasi banjir segera di seluruh Selangor, dengan 177 daripadanya dilaporkan siap setakat 4 November 2026.
Lebih 160 projek tebatan banjir bernilai melebihi RM4 bilion turut dilaksanakan secara berperingkat. Pada masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan projek tebatan banjir Sungai Buloh dan Sungai Damansara bernilai hampir RM700 juta dipercepatkan.
Kami menyambut baik langkah tersebut dan merayu agar pelaksanaannya terus diberi keutamaan. Sementara menunggu projek utama siap, usaha mitigasi jangka pendek mesti terus digerakkan secara agresif demi keselamatan penduduk.
Isu banjir mesti ditangani berdasarkan keperluan semasa dan tindakan yang berkesan. Keselamatan penduduk harus terus menjadi keutamaan, mengatasi segala perdebatan politik.
* Khairul Naim Rafidi adalah Ketua Biro Guaman dan Aduan Awam Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia







