SHAH ALAM, 5 NOV: Rasuk konkrit longkang yang pecah akibat aliran air tinggi susulan hujan lebat hampir tiga jam dikenal pasti menjadi punca banjir di beberapa kawasan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam, petang tadi.
Unit Komunikasi Korporat UiTM Cawangan Selangor memaklumkan Rektornya, Profesor Dr Ahmad Taufek Abdul Rahman telah meninjau kawasan terjejas bagi menilai keadaan susulan kejadian berkenaan.
“Hasil tinjauan mendapati aliran air yang tinggi akibat hujan lebat berterusan menyebabkan rasuk konkrit pada longkang pecah, sekali gus mengakibatkan air melimpah ke kawasan berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun katanya, limpahan air sudah surut berikutan aliran yang lancar melalui sistem perparitan kampus, manakala kesemua 16 kolam tadahan air didapati berfungsi dengan baik.
Pihak universiti turut memaklumkan keadaan kampus kini kembali seperti biasa, sementara keadaan pelajar dan kolej kediaman terkawal.
“Pihak pengurusan kampus terus bersiap siaga dan akan segera melaksanakan kerja-kerja pembaikan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan warga kampus,” katanya.
Terdahulu, hujan lebat menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan kampus berkenaan sehingga menjejaskan pergerakan kenderaan.
Situasi itu turut tular di media sosial selepas beberapa pengguna Threads berkongsi rakaman keadaan kawasan kampus yang dinaiki air.










