SHAH ALAM, 15 FEB: Sokongan Kerajaan Negeri menerusi program Merge Is Bolder 2026 membuka ruang kepada bakat kreatif muda menonjolkan potensi sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam industri ekonomi kreatif.
Timbalan Pengarah Program, Al Aufa Khairunnisa Mohd Kahar berkata, program itu melibatkan 133 pelajar Jabatan Grafik dan Media Digital Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam dengan projek yang dihasilkan selari keperluan industri semasa.
“Kami amat bersyukur dengan sokongan EXCO Belia, Mohd Najwan Halimi melalui Pelan Ekonomi Kreatif Selangor, yang membolehkan pelajar menonjolkan kesiapsiagaan mereka menghadapi cabaran industri sebenar.
“Alhamdulillah, separuh daripada pelajar sudah memperoleh tempat dalam industri, menunjukkan bakat dan potensi mereka terserlah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Merge Is Bolder 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini, semalam.
Menurutnya, program itu bukan sekadar platform pameran karya, malah memberi pendedahan langsung kepada kehendak industri serta penghasilan produk kreatif yang berdaya saing.
Sementara itu, Eksekutif Pembangunan Produk Les’ Copaque, Mohd Hazwan Othman menekankan kepentingan kreativiti individu selain kemampuan menyesuaikan diri dengan teknologi terkini.
“Bakat memainkan peranan penting dalam reka bentuk sesuatu produk untuk menarik pelanggan. Pelajar perlu memaksimumkan bakat sendiri dan tidak semestinya bergantung kepada kecerdasan buatan (AI).
“Setiap individu mempunyai kreativiti tersendiri dan penting untuk menonjolkan kelainan diri sambil terus beradaptasi dengan teknologi terkini. Inilah cara mereka bersedia menghadapi cabaran industri dan ekonomi kreatif yang sentiasa berubah,” katanya.

Semalam, Dekan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM, Azhar Abd Jamil menerusi ucapannya berkata bidang seni reka grafik kekal relevan meskipun berdepan kemunculan teknologi baharu termasuk AI.
Beliau berkata inisiatif berkenaan selari dengan misi universiti sebagai pemudah cara jaringan antara industri dan komuniti, selain meningkatkan keterlihatan institusi di peringkat lebih luas.



