SHAH ALAM, 28 NOV: Seramai 599 pelatih dari Rumah Pemulihan Riqab (RPR) dan Rumah Pemulihan Majlis (RPM) bawah Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dipulihkan antara Januari hingga Oktober lalu.
Menerusi kenyataan semalam, Mais memberitahu angka itu bukti komitmen agensi berkenaan membantu masyarakat yang berdepan masalah akidah dan sosial untuk kembali ke pangkal jalan.
"Mais komited menghasilkan insan yang bukan sahaja baik akhlak rohaninya, malahan mempunyai kualiti dalam mendepani cabaran kehidupan di luar sana," katanya.
Menurut agensi itu, RPM terdiri daripada Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman dan Pusat Pemulihan Dadah Mais serta Agensi Anti-Dadah Kebangsaan.
[caption id="attachment_675282" align="aligncenter" width="784"]
Sebahagian pelajar universiti awam dan swasta yang mengikuti Seminar Kesedaran Pelajar IPT: Sayangi
Generasi Kita di Shah Alam pada 27 November 2024. Foto ihsan Majlis Agama Islam Selangor[/caption]
Jelasnya, setiap pelatih yang ditempatkan di pusat berkenaan perlu mengikuti semua program pemulihan mengikut tempoh ditetapkan berdasarkan masalah sosial atau akidah yang dihadapi.
"Pelbagai program dilaksanakan setiap tahun bagi melancarkan proses pemulihan, perlindungan, rawatan, pencegahan dan kawalan agar mereka yang tersasar kembali ke pangkal jalan," katanya.
Dalam pada itu, Mais memaklumkan seramai 340 pelajar universiti awam dan swasta mengikuti seminar khas bagi membendung pelbagai isu sosial, termasuk ajaran sesat yang berleluasa.
Menurutnya, IPT terlibat ialah Universiti Islam Selangor, Universiti Selangor, Universiti Teknologi Mara, Universiti Putra Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya.
Turut serta ialah pelajar Management & Science University dan Politeknik Shah Alam, dengan program dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Riqab Mais Tan Sri Hashim Meon.
"Program ini sangat digalakkan demi pembangunan modal insan cemerlang selaras aspirasi Mais membangun dan melaksanakan program syiar Islam berimpak tinggi serta dicontohi organisasi lain," katanya.


