JPSM terima 22 aduan integriti, ada kes tidak hadir tugas 211 hari

5 Nov 2026, 1:00 PM
JPSM terima 22 aduan integriti, ada kes tidak hadir tugas 211 hari
JPSM terima 22 aduan integriti, ada kes tidak hadir tugas 211 hari

SHAH ALAM, 5 NOV: Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) menerima 22 aduan integriti antara Januari hingga 22 Oktober tahun ini, dengan lebih 68 peratus daripadanya membabitkan salah laku anggota awam.

Ketua Pengarahnya, Dato' Mohd Radhi Chu Abdullah berkata lima daripada keseluruhan aduan itu didapati berasas, manakala isu yang dilaporkan termasuk salah guna kuasa, penyelewengan, kegagalan penguatkuasaan serta tindakan yang tidak memenuhi kehendak pelanggan.

“Antara pelanggaran serius yang dikenal pasti ialah ketidakhadiran bertugas sehingga mencecah 211 hari, sekali gus mencerminkan kelemahan dalam aspek penyeliaan,” katanya pada program Hari Integriti JPSM 2026 hari ini.

Mohd Radhi berkata JPSM turut memberi perhatian serius terhadap aspek tatatertib apabila enam kes diselesaikan sepanjang tempoh 2020 hingga 2026, manakala beberapa kes lain masih menunggu keputusan.

Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Dato' Mohd Radhi Chu Abdullah ketika berucap pada program Hari Integriti Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) 2026. Foto JPSM

Dalam pada itu, beliau memaklumkan jabatan berkenaan mengekalkan penarafan risiko rasuah pada tahap rendah sejak 2023, selain memperoleh Pensijilan Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) Tahap Unggul dengan skor 92.37 peratus.

JPSM turut mencatat keputusan cemerlang dalam Audit Nilai SPAN 2.0 Tahun 2025 dengan skor indeks komposit sebanyak 90.53 peratus.

Bagi memperkukuh usaha pencegahan rasuah, beliau berkata JPSM melaksanakan Pelan Pembanterasan Rasuah Organisasi (PROPER) 2026–2030 yang menggariskan tiga strategi utama dan 26 substrategi.

Pelan itu memberi tumpuan kepada pengukuhan sistem kawalan dalaman bagi menutup ruang dan peluang berlakunya salah guna kuasa, ketirisan, penyelewengan serta rasuah dalam jabatan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.