Trofi Juara-Juara Asia: Malaysia tumpas di separuh akhir

4 Nov 2026, 3:10 PM
Trofi Juara-Juara Asia: Malaysia tumpas di separuh akhir

KUALA LUMPUR, 4 NOV: Hasrat skuad hoki negara untuk melangkah ke final tidak kesampaian selepas tewas 3-5 kepada Jepun menerusi penentuan penalti pada aksi separuh akhir kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Punjab, India hari ini.

Pada perlawanan di Stadium Hoki Surjit Singh, kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan sepanjang 60 minit tempoh permainan, sebelum Jepun tampil cemerlang dalam penentuan penalti untuk mengesahkan tempat di final.

Lima pemain Jepun yang berjaya menyempurnakan pukulan penalti masing-masing ialah Kazumasa Matsumoto, Ryoma Ooka, Tanaka Tsubasa, Haruki Ochiai dan Tanaka Seren.

Tiga gol Malaysia diperoleh hasil jaringan Nik Aiman Rozemi, Shello Silverius dan Azrai Aizad Abu Kamal manakala Faizal Saari gagal menyempurnakan percubaannya, sekali gus menyaksikan skuad Speedy Tigers terlepas peluang melangkah ke final.

Malaysia akan beraksi dalam penentuan tempat ketiga dan keempat berdepan India atau Korea Selatan yang akan berentap dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Sementara itu, ketua jurulatih negara Brendon Carolan berkata anak buahnya mempamerkan aksi positif sepanjang perlawanan separuh akhir, namun kegagalan memanfaatkan beberapa peluang menerusi pukulan sudut penalti menjadi faktor membezakan kedua-dua pasukan.

“Kita mempunyai banyak peluang menerusi pukulan sudut penalti, namun gagal memanfaatkannya pada saat penting. Dengan jumlah peluang sebanyak itu, kami sepatutnya mampu memenangi perlawanan,” katanya menerusi rakaman video yang dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) hari ini.

-- BERNAMA

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.