Foto bukan sekadar imej, rakam peristiwa, kisah kehidupan

4 Nov 2026, 1:34 PM
Foto bukan sekadar imej, rakam peristiwa, kisah kehidupan

SHAH ALAM, 4 NOV: Gambar bukan sekadar merakam sesuatu peristiwa, sebaliknya mampu mengangkat kisah kehidupan dan pengalaman individu yang terkesan, terutama ketika berdepan bencana.

Pengamal media arus perdana Aizuddin Saad berkata pemilihan gambar perlu mengambil kira nilai berita, konteks dan keunikan bagi memastikan setiap imej menyampaikan mesej yang jelas kepada masyarakat.

"Kekuatan gambar bukan hanya terletak pada komposisi, pencahayaan atau ekspresi individu, sebaliknya maklumat dan mesej yang ingin disampaikan kepada masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika 54th Journalism Colloquium bertemakan Enough Bad News? Rethinking Journalism Through Solutions & Visual Storytelling yang dikendalikan pelajar kewartawanan tahun akhir, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam secara dalam talian semalam.

Aizuddin mengambil contoh pengalamannya membuat liputan gempa bumi di Antakya, Turki apabila gambar bangunan runtuh sahaja tidak cukup untuk menggambarkan kesan bencana terhadap kehidupan penduduk.

"Gambar penduduk mencari barang keperluan, menyediakan makanan dan mendapatkan pakaian sumbangan turut penting bagi menunjukkan keadaan mereka selepas kehilangan tempat tinggal.

"Gabungan gambar kemusnahan dan kehidupan mangsa membolehkan penonton memahami kesan bencana dengan lebih menyeluruh, termasuk cabaran yang dihadapi untuk meneruskan kehidupan," katanya.

Sementara itu, Jurufoto Kewartawanan, Shamshahrin Shamsudin berkata setiap gambar perlu mempunyai tujuan dan mesej yang jelas supaya dapat menyampaikan sesuatu perkara kepada masyarakat.

Menurutnya, gambar yang menarik tidak semestinya sesuai digunakan sekiranya tidak memenuhi tujuan atau kehendak tugasan.

Shamshahrin juga berpendapat gambar statik masih relevan walaupun kandungan video dan gambar interaktif semakin berkembang dalam platform digital.

“Antara gambar yang paling saya ingat sampai sekarang ialah gambar mata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang lebam pada ketika dulu.

"Gambar itu meninggalkan kesan mendalam kepada saya dan menunjukkan bagaimana sekeping foto mampu kekal dalam ingatan seseorang," katanya.

Beliau turut menegaskan wartawan foto perlu menghasilkan imej yang kuat dari segi visual, tepat dan bermakna bagi memastikan sesebuah gambar terus menjadi medium penting dalam menyampaikan sesuatu peristiwa.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.