SHAH ALAM, 11 MEI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menumpaskan sindiket penyeludupan dadah, mata wang dan minuman keras bernilai hampir RM1.19 juta menerusi empat kes berasingan sepanjang April lalu.
Pengarah JKDM KLIA, Zulkifli Muhammad berkata, kejayaan itu hasil kerjasama pihaknya bersama Pihak Keselamatan Penerbangan (AVSEC) Malaysia Airports KLIA dalam memperketat kawalan di pintu masuk dan keluar negara.
Menurutnya, kes pertama membabitkan seorang pengembara warga Indonesia yang ditahan di Bangunan Satelit, Ruang Pelepasan Pintu Antarabangsa KLIA Terminal 1 pada 2 April lalu kerana disyaki cuba membawa keluar wang tunai tanpa pengisytiharan.
“Hasil pemeriksaan terhadap sebuah bagasi milik pengembara terbabit menemukan mata wang Ringgit Malaysia sebanyak RM129,500 yang disembunyikan dalam beg plastik warna hitam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kes kedua, JKDM merampas minuman keras pelbagai jenama yang tidak mempunyai setem cukai dan disyaki tidak berkastam di sebuah premis di Seri Kembangan pada 23 April lalu.
Zulkifli berkata, rampasan itu membabitkan 17,043.60 liter minuman keras dengan nilai rampasan RM221,566.80 selain melibatkan kehilangan duti dan cukai kepada kerajaan RM430,835.64.
“Rampasan dilakukan hasil risikan dan pemeriksaan terhadap premis terbabit,” katanya.
Sementara itu, seorang lelaki tempatan turut ditahan pada 24 April lalu kerana disyaki cuba menyeludup keluar dadah melalui pintu pelepasan antarabangsa KLIA Terminal 1.
Menurut Zulkifli, suspek yang mahu menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur ke Hong Kong ditahan selepas imbasan terhadap bagasinya mengesan imej mencurigakan dipercayai dadah.
“Pemeriksaan lanjut menemukan ketamin dianggarkan seberat 3.6719 kilogram bernilai RM183,595. Modus operandinya menggunakan ‘handcarry luggage’ untuk tujuan mengedar dadah bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya, lapor Harian Metro.
Dalam kes berasingan pada 27 April lalu, dua wanita tempatan turut ditahan di Pintu Pelepasan Antarabangsa KLIA Terminal 1 ketika dipercayai cuba menyeludup dadah ke Taipei, Taiwan.
Katanya, pemeriksaan terhadap bagasi dibawa kedua-dua wanita itu menemukan dadah jenis ketamin seberat 4.4836 kilogram bernilai RM224,180 yang disorok dalam bagasi tangan.
“Modus operandi mereka juga menggunakan ‘handcarry luggage’ untuk tujuan mengedar dadah bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata, keseluruhan nilai rampasan bagi empat kes berkenaan termasuk duti dan cukai dianggarkan RM1,189,677.44.
Menurutnya, semua kes disiasat mengikut Seksyen 28B Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001, Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, Seksyen 74(1)(d) Akta Eksais 1976 serta Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.









