KUALA LUMPUR, 3 NOV: Perkembangan usaha kerajaan mendapatkan semula bayaran bagi projek Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) dan Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) serta usaha memperkukuh kawalan keselamatan di pintu sempadan negara antara perkara yang menjadi tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, Datuk Jonathan Yasin (GRS-Ranau) meminta Perdana Menteri menyatakan langkah kerajaan untuk mendapatkan semula wang yang telah dibayar bagi projek TSGP dan MPP yang didakwa menerima bayaran sebanyak 88 peratus atau RM8.3 bilion walaupun kemajuan kerja hanya 13 peratus.
Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) pula meminta Perdana Menteri menjelaskan langkah kerajaan memperketat kawalan keselamatan serta menangani kelemahan penyelarasan antara agensi penguatkuasaan susulan peningkatan kes penyeludupan dadah dan barangan terlarang melalui pintu sempadan negara, khususnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Subang.
Sementara itu, pada sesi soal jawab lisan, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) meminta Menteri Kerja Raya menyatakan jumlah serta nilai projek yang dikategorikan sebagai projek sakit termasuk punca utama kelewatan, tindakan terhadap kontraktor dan implikasi kelewatan tersebut terhadap kos kerajaan.
Onn Abu Bakar (HARAPAN-Batu Pahat) pula meminta Menteri Kewangan menyatakan mekanisme akauntabiliti kerajaan terhadap anak syarikat dan agensi kerajaan yang mengalami kerugian akibat kelemahan tadbir urus, tatakelola atau keputusan pelaburan yang tidak mencapai sasaran termasuk tahap pertanggungjawaban ahli lembaga pengarah dan pengurusan tertinggi.
Turut menjadi perhatian soalan Dr Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) yang meminta Menteri Komunikasi menyatakan rasional dan kerelevanan klasifikasi PG18 tidak lagi ditapis dalam industri perfileman Malaysia pada masa hadapan, selain menjelaskan hala tuju Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) susulan perubahan dasar berkenaan.
Roy Angau Gingkoi (GPS-Lubok Antu) pula meminta Menteri Komunikasi menyatakan sejauh mana Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mempunyai teknologi dan kepakaran untuk mengesan trafik perjudian dalam talian serta mengenal pasti dan menyekat pelayan atau platform perjudian, termasuk melalui kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tindakan penguatkuasaan.
Selepas sesi soal jawab lisan, Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan dan jawapan menteri bagi Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan 2027) Peringkat Jawatankuasa oleh Kementerian Kewangan dan Kementerian Luar.
Menurut takwim Dewan Rakyat, perbahasan Belanjawan 2027 Peringkat Jawatankuasa bermula 2 hingga 26 November ini.







