Myvi dan Vellfire bertembung di MRR2, dua maut

1 Nov 2026, 7:26 AM
Myvi dan Vellfire bertembung di MRR2, dua maut

SHAH ALAM, 1 NOV: Dua pemandu maut manakala seorang penumpang cedera selepas dua kenderaan bertembung dalam kemalangan di Kilometer 23, Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), berhampiran susur ke Bukit Antarabangsa, awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 12.40 tengah malam itu membabitkan sebuah Perodua Myvi dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata siasatan awal mendapati Perodua Myvi yang dalam perjalanan dari Taman Melawati menuju ke Cheras dipercayai hilang kawalan ketika tiba di lokasi kejadian.

Menurutnya, kereta berkenaan kemudian terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar bahagian hadapan Toyota Vellfire.

"Akibat kemalangan itu, pemandu Perodua Myvi mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Ampang.

"Pemandu Toyota Vellfire pula yang mengalami kecederaan dibawa ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan," katanya seperti dilapor Harian Metro.

Beliau berkata seorang penumpang Toyota Vellfire turut cedera dan masih menerima rawatan lanjut di hospital sama.

Menurut Khairul Anuar, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis turut meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian supaya tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya bagi membantu siasatan.

Kemalangan itu turut menyebabkan kesesakan lalu lintas yang panjang di laluan dari Cheras menghala ke Taman Melawati sehingga jam 2.30 pagi.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.