Tidak daftar nikah jejas masa depan anak

5 Nov 2026, 1:30 PM
Tidak daftar nikah jejas masa depan anak
Tidak daftar nikah jejas masa depan anak

SHAHA ALAM, 5 NOV: Perkahwinan yang disorok dan tidak didaftar mengikut undang-undang boleh menimbulkan kekeliruan nasab atau keturunan anak, selain menyukarkan urusan berkaitan keluarga.

Penolong pengarah Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berkata perkara itu juga boleh menjejaskan urusan pendaftaran kelahiran anak dan persekolahan kelak.

Zizul Naziha Zulkifly menjelaskan ketiadaan rekod perkahwinan sah turut menyukarkan perihal harta pusaka terutama apabila berlaku kematian mengejut berikutan tiada sebarang rekod.

Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Zizul Naziha Zulkifly

“Kegagalan daftar perkahwinan ini hanya menzalimi diri sendiri, anak-anak dan isteri. Ramai orang sekeliling terkesan sebab menyembunyikan perkahwinan. Kesannya sangat besar,” katanya.

Beliau juga mengingatkan ibu bapa supaya tidak bersubahat dengan anak-anak yang berkahwin di luar negara tanpa mengikut peruntukan undang-undang.

Ini kerana, tegasnya, ibu bapa yang bersubahat dalam kesalahan berkaitan perkahwinan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 134 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam.

“Untuk rekod, yang banyak didakwa adalah bapa kerana mereka wali. Ibu bapa jangan menjadi penyebab pelanggaran perkahwinan itu, mereka perlu memainkan peranan.

"Sentiasa ikuti rapat anak-anak kerana khuatir mereka bernikah diam-diam di negara luar. Ada kes ibu bapa tidak tahu anak mereka berkahwin secara senyap, jangan terlepas pandang,” katanya.

Selain itu, Zizul Naziha menggesa pasangan yang berkahwin tanpa kebenaran supaya segera mendaftar perkahwinan di pejabat agama berhampiran bagi memastikan ikatan dibina diiktiraf.

Katanya, pasangan perlu mengemukakan dokumen berkaitan sebelum dirujuk ke mahkamah syariah bagi mendapatkan pengesahan perkahwinan jika memenuhi syarat pendaftaran di Selangor.

“Tatacara tidak susah tetapi ramai cakap susah sedangkan tidak pernah ke pejabat agama. Mereka yang berkahwin tanpa kebenaran datang uruskan pendaftaran, pejabat agama akan menilai,” katanya.

Beliau berkata pasangan tidak harus takut mendaftar perkahwinan kerana pengiktirafan ikatan tersebut penting bagi menjamin urusan keluarga pada masa depan.

Bagaimanapun, Zizul Naziha menegaskan hukuman tetap dikenakan iaitu denda RM1,000 dan penjara enam bulan, manakala kesalahan membuat akuan palsu boleh didenda RM2,000 atau penjara setahun.

"Kita pernah buat pemutihan tetapi tidak ramai yang tampil. Malah, jika nikah tanpa kebenaran yang bukan poligami kita beri sijil nikah sebelum dakwa tetapi mesti datang ke pejabat penguatkuasaan dengan dokumen lengkap,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.