SHAH ALAM, 13 SEPT: Waris 55 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan susulan tragedi banjir besar di Nepal terus menunggu perkembangan terkini daripada pihak berkuasa selepas 19 hari kejadian berlaku.
Isteri kepada Pegawai Bomba Kanan II Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, Hani Othman berkata setakat ini keluarga belum menerima keputusan pemadanan DNA antara waris di Malaysia dengan sampel mayat mangsa di Nepal, lapor Berita Harian.
Bagaimanapun, beliau difahamkan proses berkenaan masih dijalankan.
“Belum ada perkembangan ujian pemadanan DNA. Tapi katanya masih dalam proses. Saya masih mengharap keajaiban tetapi tetap reda dengan sebarang ketentuan,” katanya ketika dihubungi.
Pada 28 Ogos lalu, Hani dilaporkan berlepas ke Kathmandu atas inisiatif sendiri bagi mendapatkan perkembangan secara langsung mengenai operasi mencari suaminya dan mangsa lain yang masih gagal dihubungi.
Beliau berkata keputusan itu dibuat kerana mahu berada lebih dekat dengan operasi pencarian dan tidak hanya menunggu perkembangan dari Malaysia.
Ditanya mengenai penamatan tugasan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) MAS-01 di Nepal, Hani enggan mengulas lanjut.
“Tak tahu nak komen macam mana. Saya kena jaga hati banyak pihak, isu ini sangat sensitif,” katanya.
Sementara itu, bapa kepada Rajita Sivan, P Sivan, 72, berkata sampel DNA waris sudah diambil dan keluarga kini menunggu perkembangan lanjut daripada Wisma Putra.
“DNA sudah diambil. Tunggu berita daripada Wisma Putra. Saya berharap dapat jumpa supaya padanan DNA boleh dilakukan.
“Sekiranya ditemui hidup, ia akan menjadi satu keajaiban,” katanya.
Seramai 55 rakyat Malaysia dilaporkan masih gagal dihubungi susulan bencana itu, manakala 77 lagi yang dikesan selamat di Tibet dan Nepal sudah dibawa ke Kathmandu untuk menjalani proses sebelum pulang ke Malaysia.







