Langkah Malaysia perkukuh pertahanan Sabah bukan reaksi terhadap Filipina

30 Okt 2026, 11:28 AM
Langkah Malaysia perkukuh pertahanan Sabah bukan reaksi terhadap Filipina
Langkah Malaysia perkukuh pertahanan Sabah bukan reaksi terhadap Filipina
Langkah Malaysia perkukuh pertahanan Sabah bukan reaksi terhadap Filipina
Langkah Malaysia perkukuh pertahanan Sabah bukan reaksi terhadap Filipina

LABUAN, 30 OKT: Malaysia akan terus memperkukuh keupayaan ketenteraan di Sabah untuk menjamin keselamatan negara susulan perkembangan geopolitik serantau, namun langkah ini bukan sebagai respons terhadap pengukuhan ketenteraan Filipina di Pulau Balabac.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata setiap negara berhak untuk meningkatkan keupayaan pertahanan masing-masing, dan Malaysia juga komited memastikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.

"Bagaimanapun, usaha kita bukan sebagai reaksi terhadap tindakan Filipina di wilayah selatannya, sebaliknya ia sebahagian persediaan bagi memastikan sebarang peningkatan ketegangan tidak memberikan kesan besar kepada Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima pesawat FA-50M dari Korea Selatan di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Labuan, di sini.

Mohamed Khaled mengulas langkah Filipina memperkukuh kemudahan ketenteraan di Pulau Balabac, selatan Palawan, yang turut menjadi lokasi kerjasama ketenteraan dengan tentera Amerika Syarikat.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata usaha memperkukuh keupayaan pertahanan Malaysia, khususnya di Sabah kekal menjadi keutamaan Kementerian Pertahanan.

Beliau berkata kementerian akan menentukan jumlah pesawat tempur ringan FA-50M yang akan ditempatkan di pangkalan TUDM Labuan, susulan perancangan untuk menamatkan perkhidmatan pesawat pejuang Hawk pada 2028.

“Kerajaan juga telah memutuskan untuk memasang sistem radar baharu di Sabah, termasuk di Pulau Layang-Layang bagi meningkatkan keupayaan pemantauan dan pengesanan awal.

"Kementerian juga akan menambah jumlah anggota tentera di Sabah, yang kini menempatkan lebih 10,000 anggota, selain membangunkan kem tentera baharu bagi memperkukuh kesiapsiagaan operasi," katanya.

Beliau berkata inisiatif berkenaan adalah sebahagian daripada usaha berterusan negara untuk memperkukuh pertahanan dan melindungi kedaulatan.

-- BERNAMA

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.