SHAH ALAM, 29 OKT: Kekurangan mesin sulaman sebelum ini menyebabkan Tina Hadzimah Sayati Ahmad, 62, terpaksa menolak tempahan, namun Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan membuka peluang untuk beliau mengembangkan perniagaan serta menjana pendapatan tambahan.
Tina Hadzimah yang juga ibu tunggal berkata dirinya mempunyai pengalaman kira-kira 23 tahun dalam bidang jahitan sebelum mula menceburi bidang sulaman sejak tiga tahun lepas.
Jelasnya, mesin sulaman bersaiz kecil yang dimiliki sebelum ini hanya sesuai untuk kerja berskala kecil, sekali gus mengehadkan keupayaannya menerima tempahan yang memerlukan mesin lebih besar.

“Bantuan mesin sulaman menerusi Program Blueprint itu bukan sahaja membolehkannya mengembangkan perniagaan, malah menjana pendapatan tambahan bagi menampung kos sara hidup yang semakin tinggi di bandar.
“Dengan bantuan ini, saya boleh menjana pendapatan. Terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menyediakan keperluan kami,” katanya kepada Media Selangor.
Sementara itu, penerima Bantuan Peralatan Usahawan India Selangor (i-SEED), Thanigaiselvi Thaniah berkata bantuan peralatan yang diterima membolehkannya meningkatkan pengeluaran kek buatan sendiri, sekali gus menambah pendapatan keluarga.

Beliau yang sebelum ini merupakan suri rumah berkata perniagaan kek yang diusahakan menjadi salah satu cara untuk membantu kewangan keluarga, namun jumlah tempahan yang mampu dipenuhi terhad berikutan kekurangan peralatan.
Katanya, bantuan berupa ketuhar, pengadun kek dan alat penyejuk membolehkannya menghasilkan lebih banyak kek berbanding sebelum ini.
“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor kerana bantuan ini membolehkan saya mengembangkan perniagaan dan memperbaiki keadaan keluarga.
“Sebelum ini, saya kekurangan peralatan dan hanya mampu menerima tempahan dalam kuantiti kecil. Namun, selepas menerima peralatan ini, saya boleh menghasilkan lebih banyak kek,” katanya.
Beliau berharap kemudahan berkenaan dapat membantu mengembangkan perniagaannya secara berperingkat, selain membuka peluang untuk menerima lebih banyak tempahan pada masa hadapan.
Bantuan di bawah Program Bantuan Peralatan Usahawan India Selangor (i-SEED) 2026 selesai diagihkan di Gombak hari ini, sekali gus melengkapkan penyerahan di seluruh sembilan daerah Selangor.
Kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM3 juta tahun ini menerusi Blueprint Selangor dan i-SEED bagi membantu usahawan kecil, khususnya golongan berpendapatan rendah, mengembangkan perniagaan melalui bantuan peralatan.






