Yuran percuma belum cukup, mahasiswa B40 masih bergelut kos hidup

8 Sep 2026, 8:02 AM
Yuran percuma belum cukup, mahasiswa B40 masih bergelut kos hidup

SHAH ALAM, 8 SEPT: Pemansuhan atau pengecualian yuran pengajian di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) belum memadai untuk menjamin mobiliti sosial mahasiswa daripada keluarga berpendapatan rendah jika kos sara hidup harian terus membebankan.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Seri Abdul Rahman Mohamed berkata, masih ada mahasiswa daripada keluarga daif terpaksa mencatu makanan, termasuk makan hanya sekali sehari sepanjang pengajian, lapor Astro AWANI.

Menurutnya, keadaan itu menunjukkan bantuan pendidikan tidak boleh tertumpu kepada yuran semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi keperluan asas pelajar ketika berada di kampus.

“Bila saya berkesempatan berjumpa dengan beberapa keluarga di bawah Program SULUNG, saya melihat bukan masalah yuran itu sahaja yang dihadapi mereka.

“Semasa berada di universiti itu sendiri, selain daripada yuran, dia perlu makan dan pakai setiap hari. Kita lihat ada yang sanggup makan sehari sekali sahaja dan itu pun akan mengurangkan peluang mereka untuk menjadi yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengendalikan sesi bertajuk Cabaran Mutakhir Pendidikan Anak Bangsa: Kumpulan B40 dan M40 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Selasa.

Abdul Rahman berkata, kekurangan nutrisi dan tekanan hidup turut memberi kesan terhadap keyakinan diri serta kemahiran insaniah graduan ketika bersaing dalam pasaran kerja.

Katanya, graduan daripada keluarga berpendapatan tinggi lazimnya mempunyai kelebihan dari segi komunikasi, penguasaan bahasa Inggeris dan pendedahan yang lebih luas.

Sebaliknya, mahasiswa daripada keluarga susah sering memulakan pengajian dengan pelbagai kekurangan dan memerlukan sokongan lebih menyeluruh untuk membina potensi diri.

Beliau menegaskan, universiti merupakan benteng terakhir dalam rantaian pendidikan untuk membantu keluarga miskin keluar daripada kitaran kemiskinan.

“Di IPT ini adalah hentian terakhir untuk mereka. Kalau kita tidak bantu mengubah keperibadian dan potensi mereka di sini, amat sukar untuk mereka keluar daripada kesempitan.

“Anak-anak ini bukan sekadar statistik atau angka, mereka adalah manusia yang mempunyai maruah dan kehebatan tersendiri. Amanah kita tidak berakhir sebaik sahaja mereka menggenggam ijazah, tetapi berterusan sehingga nasib mereka dan keluarga mereka benar-benar berubah,” katanya.

Konvensyen itu menghimpunkan ahli akademik dan pakar dasar bagi membincangkan cabaran pendidikan serta usaha memperkasa mobiliti sosial golongan B40 dan M40.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.