Baling bom petrol di penempatan Rohingya, polis tahan 13 lelaki warga tempatan

20 Okt 2026, 12:00 AM
Baling bom petrol di penempatan Rohingya, polis tahan 13 lelaki warga tempatan

SHAH ALAM, 20 OKT: Seorang remaja berusia 16 tahun antara 13 lelaki warga tempatan yang ditahan bagi membantu siasatan kes membaling bom petrol di penempatan komuniti Rohingya di Kulai Besar, Kulai, pada 13 Oktober lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata semua suspek ditahan menerusi operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dengan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai dari 14 hingga 18 Oktober, lapor Berita Harian.

"Semakan mendapati empat daripada 13 suspek memiliki 12 rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah. Polis turut merampas 13 telefon bimbit, tiga pasang pakaian dan tiga topi besbol daripada semua suspek.

"Empat suspek direman selama lapan hari termasuk lanjutan bermula 14 hingga 21 Oktober, manakala empat lagi direman selama tujuh hari, termasuk reman lanjutan dari 15 hingga 21 Oktober.

"Seorang lagi suspek direman selama lima hari bermula 15 hingga 20 Oktober, manakala empat suspek direman selama tujuh hari bermula 19 hingga 25 Oktober," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan polis membuka dua kertas siasatan berhubung kejadian membaling molotov dipercayai menyebabkan kebakaran kecil pada pagar beberapa rumah di penempatan warga Rohingya di Kulai Besar, di sini, pada 13 Oktober lalu.

Polis menerima laporan kejadian kira-kira jam 1.30 pagi. Api kemudian berjaya dipadamkan dan tiada sebarang kecederaan atau kerosakan lain dilaporkan.

Polis tidak menolak kemungkinan perbuatan itu dilakukan individu yang tidak berpuas hati dengan dua hantaran video tular di Facebook yang memaparkan sekumpulan individu dipercayai warga Rohingya mencabar orang tempatan supaya datang ke kawasan Kulai.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.