25 individu beri keterangan kes KP AKPS

5 Okt 2026, 12:50 PM
25 individu beri keterangan kes KP AKPS

SHAH ALAM, 5 OKT: Seramai 25 individu sudah dirakam keterangan bagi membantu siasatan polis berhubung insiden membabitkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata siasatan turut merangkumi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan laporan perubatan bagi meneliti semua aspek berkaitan kejadian itu.

“Kita sudah mendapatkan rakaman CCTV serta laporan doktor bagi memastikan segala aspek berkaitan kes ini dapat diteliti dan disiasat dengan sewajarnya demi memastikan keadilan dapat ditegakkan,” katanya seperti dilapor BH.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Buku Garis Panduan Perunding di Bukit Aman, hari ini.

Siasatan itu dijalankan susulan insiden yang menyaksikan Mohd Shuhaily dilihat memarahi dua lelaki di tempat awam.

Dalam pada itu, Mohd Khalid turut menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi ketika siasatan masih berlangsung.

Minggu lalu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan pihaknya sedang menunggu hasil siasatan polis sebelum menentukan sebarang tindakan susulan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dilaporkan berkata JPA masih belum menerima sebarang laporan rasmi terhadap Mohd Shuhaily berhubung tindakannya dalam klip video tular berkenaan.

Sebelum ini, tular rakaman video memaparkan Mohd Shuhaily memarahi dua lelaki, dengan seorang daripada mereka kelihatan ditarik telinganya secara kasar.

Turut tersebar di media sosial ialah salinan laporan polis yang didakwa dibuat oleh individu yang menjadi mangsa layanan kasar dalam kejadian itu.

Mohd Shuhaily sebelum ini menyatakan beliau bersedia untuk disiasat sepenuhnya berhubung insiden berkenaan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.