SHAH ALAM, 24 OKT: Hanya 10 saat diperlukan untuk memindahkan wang, namun kepantasan transaksi digital itu boleh menyebabkan pengguna hilang simpanan jika terpedaya penipuan dalam talian.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour menegaskan kemudahan tersebut turut mengehadkan masa pengguna untuk membuat pertimbangan sebelum bertindak.
“Dalam dunia digital, sepuluh saat sudah memadai untuk membuat pembayaran atau memindahkan wang. Kemudahan ini banyak manfaatnya.
“Namun, kepantasan transaksi turut mengehadkan ruang untuk pertimbangan yang lebih mendalam. Beberapa saat boleh menentukan sama ada simpanan keluarga kekal selamat atau hilang,” katanya pada majlis perasmian Karnival Celik Kewangan Selangor 2026 di Central i-City di sini, hari ini.
Menurutnya, Selangor merekodkan kerugian tertinggi akibat penipuan dalam talian pada 2025 berjumlah RM986.79 juta, berbanding keseluruhan RM2.97 bilion dicatatkan di seluruh negara.
Justeru, Abdul Rasheed berkata orang ramai perlu berwaspada terhadap penyamaran pegawai bank atau pihak berkuasa yang mendesak mangsa memindahkan wang kononnya bagi mengelakkan akaun disekat.
Beliau turut mengingatkan masyarakat tidak terburu-buru memenuhi arahan sedemikian, sebaliknya menyemak kesahihan maklumat melalui saluran rasmi sebelum berkongsi maklumat peribadi.
Tambahnya, BNM bersama agensi berkaitan terus memperkukuh usaha membanteras penipuan, termasuk mempercepat pengesanan kecurian dana serta memperketat langkah keselamatan perbankan dalam talian.
“Namun, sistem yang kukuh sahaja tidak mencukupi. Perlindungan pertama tetap bermula dengan kewaspadaan kita sendiri,” tegasnya.
Sebelum ini, menteri dalam negeri berkata sebanyak RM125.29 juta kerugian direkodkan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan membabitkan kes penipuan dalam talian bagi tempoh Januari hingga April lalu.
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata tiga modus operandi direkodkan dengan kes tertinggi iaitu e-Belian sebanyak 2,405 kes, jenayah telekomunikasi (1,026) dan pinjaman tidak wujud (894).
Katanya, ia berikutan taktik penjenayah yang sentiasa berubah dan semakin canggih termasuk mengeksploitasi teknologi digital serta menggunakan identiti palsu bagi meyakinkan mangsa.








