KUALA LUMPUR, 31 MAC: Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini memberi isyarat tiada keperluan segera bagi pelaksanaan pakej rangsangan secara meluas berikutan konflik Asia Barat ketika ini.
Susulan itu, bank pusat berkenaan lebih cenderung kepada pendekatan holistik dan bersasar ketika keadaan ekonomi negara masih kekal berdaya tahan.
Ketika menekankan perkara itu, Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata pakej rangsangan itu tidak boleh dilaksanakan secara meluas di semua sektor, sebaliknya perlu holistik dan berpandukan gambaran serta tahap ekonomi secara menyeluruh.
Beliau berkata ini penting memandangkan Malaysia memasuki tahun ini daripada kedudukan kukuh susulan pemulihan daripada pelbagai krisis, terutama pandemik COVID-19.
“Kita perlu mengambil maklum serta mengakui bahawa kita baru sahaja selesai daripada beberapa krisis, khususnya pandemik COVID-19.
“Tempoh pasca pandemik pula menyaksikan kita telah melaksanakan banyak bantuan daripada sokongan fiskal kerajaan kepada bantuan bank dengan pendekatan secara bersasar,” katanya kepada pemberita selepas beberapa laporan utama BNM dikeluarkan di sini, hari ini.








