SHAH ALAM, 1 OKT: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini atas empat tuduhan merakam wanita ketika membuang air kecil dalam tandas serta satu tuduhan memiliki video lucah.
Tertuduh, Muhammad Mukhris Sulaiman, 22, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Sharifah Razali.
Bagi pertuduhan pertama hingga keempat, Muhammad Mukhris didakwa melakukan kesalahan terhadap empat wanita di sebuah kilang di Bukit Minyak, Seberang Perai Tengah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam 11.44 pagi hingga 6.55 petang dalam tempoh 2 hingga 23 September lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan, lapor Harian Metro.
Tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan memiliki beberapa video lucah ketika pemeriksaan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam 9.30 pagi, 24 September lalu.
Bagi pertuduhan berkenaan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Amalina Harun manakala tertuduh diwakili peguam V Sivakumar.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi semua pertuduhan selain memerintahkannya tidak mendekati mangsa sehingga perbicaraan selesai. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 19 November bagi serahan dokumen.







