3,000 kes pencerobohan tol setahun, pengendali KLK, LPT1 rugi lebih RM20,000

23 Okt 2026, 8:15 AM
3,000 kes pencerobohan tol setahun, pengendali KLK, LPT1 rugi lebih RM20,000

KARAK, 23 OKT: Syarikat pengendali dan pemegang konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak (KLK) serta Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) menanggung kerugian lebih RM20,000 setahun akibat aktiviti pencerobohan tol yang berterusan.

Pengurus Besar AFA Systems and Services Sdn Bhd Ismaliza Ibrahim berkata pihaknya merekodkan kira-kira 3,000 transaksi pencerobohan setahun atau purata lapan kes sehari.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata syarikat berkenaan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) merangka serta melaksanakan operasi penguatkuasaan bersepadu bermula 3 hingga 5 pagi di Plaza Tol Karak bertujuan mengesan, membendung dan mengurangkan kesalahan mengekor rapat serta pencerobohan laluan tol di sepanjang rangkaian lebuh raya berkenaan.

"Berdasarkan maklumat kami, kenderaan Kelas 1 menjadi kumpulan terbesar melanggar aturan pembayaran tol, iaitu sebanyak 95 peratus, diikuti kenderaan Kelas 2 (1.9 peratus) dan Kelas 3 (1.3 peratus).

"Kaedah utama yang sering digunakan penceroboh adalah dengan mengekor rapat kenderaan di hadapan bagi melepasi palang tol, yang menyumbang hingga 63 peratus," katanya kepada pemberita di lokasi operasi awal pagi tadi.

Ismaliza berkata fokus operasi tertumpu kepada 37 kenderaan tegar pelbagai kelas yang dikenal pasti kerap melakukan pelanggaran berulang di Plaza Tol Karak, membabitkan kerugian kumulatif RM10,600.

"Antara rekod pencerobohan tegar tertinggi yang dikesan melibatkan kerugian RM771.50 menerusi 27 kali pelanggaran oleh sebuah kenderaan, manakala sebuah lagi kenderaan merekodkan frekuensi pencerobohan tertinggi, iaitu 44 kali dengan jumlah kerugian RM350.10," katanya.

Beliau berkata langkah tegas itu bukan sahaja berhasrat mengutip semula tunggakan hasil, malah bertujuan mendidik pengguna lebuh raya mengenai kepatuhan pembayaran tol dan implikasi undang-undang yang boleh dikenakan.

"Di bawah Seksyen 8 Akta Jalan Persekutuan (Pengurusan Persendirian) 1984, individu yang disabitkan kesalahan menceroboh tol boleh dikenakan denda tidak kurang RM2,000 dan tidak melebihi RM5,000 atau hukuman penjara hingga satu tahun," katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.