SHAH ALAM, 21 OKT: Pasukan bomba terpaksa berjalan kaki sejauh empat hingga lima kilometer bagi mengesan dua pendaki yang dihanyutkan arus deras di Air Terjun Lubuk Tupai, Kampung Hulu Rening, Batang Kali, hari ini.
Kedua-dua mangsa merupakan sebahagian daripada enam individu yang melakukan aktiviti mendaki di kawasan berkenaan sebelum kejadian dipercayai berlaku pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.13 tengah hari.
“Maklumat awal mendapati enam individu sedang melakukan aktiviti mendaki di kawasan berkenaan sebelum dua daripada mereka masuk ke sungai untuk mandi.
"Kedua-duanya dihanyutkan arus deras dan dilaporkan tenggelam,” katanya.
Menurut beliau, kedudukan air terjun yang terpencil menyukarkan pasukan penyelamat untuk tiba di lokasi kejadian.
“Anggota bomba terpaksa berjalan kaki sejauh empat hingga lima kilometer mendaki dari kem pangkalan di Kampung Hulu Rening untuk sampai ke lokasi kejadian.
“Anggota daripada Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Batang Kali tiba di air terjun itu pada jam 1.05 tengah hari, manakala anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu tiba di lokasi pada jam 2.28 petang,” katanya.
Ashrul Riezal berkata pasukan penyelamat sedang menjalankan penilaian awal di kawasan berkenaan sebelum meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Seramai 10 anggota daripada BBP Kuala Kubu Bharu dan PBS Batang Kali terlibat dalam operasi tersebut.







