SHAH ALAM, 21 OKT: Selangor mencatatkan kadar penagihan dan penyalahgunaan dadah sebanyak 338 bagi setiap 100,000 penduduk pada 2025, menjadikannya negeri kedua terendah di Malaysia.
Setiausaha Kehormat Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad berkata pencapaian itu wajar diberi perhatian, mengambil kira jumlah penduduk yang besar serta cabaran sosial di negeri yang pesat membangun.
Menurutnya, statistik Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi 2025 yang dilaporkan Utusan Malaysia pada 13 Jun lalu menunjukkan kadar di Selangor lebih rendah berbanding Johor, Perak dan Pulau Pinang.

“Johor mencatatkan kadar 499, Perak 579 dan Pulau Pinang 757 bagi setiap 100,000 penduduk. Kadar Selangor masing-masing lebih rendah sebanyak 32.3 peratus berbanding Johor, 41.6 peratus berbanding Perak dan 55.4 peratus berbanding Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, beliau berkata usaha pencegahan perlu diteruskan dan diperkukuh menerusi pendidikan di sekolah, program kesedaran serta penglibatan aktif komuniti bagi memastikan mesej antidadah sampai kepada golongan sasaran.
Saifuddin turut merakamkan penghargaan kepada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari atas sokongan terhadap agenda pencegahan dadah di negeri itu.
Katanya, penyelarasan antara AADK, pihak sekolah dan ibu bapa penting untuk memperluas pendidikan antidadah, mengenal pasti golongan berisiko serta menghubungkan keluarga dengan saluran bantuan yang bersesuaian.

Beliau berkata pencegahan awal amat penting bagi melindungi golongan muda daripada kesan penagihan dadah yang boleh menjejaskan pendidikan, peluang pekerjaan dan kestabilan kewangan, selain memberi tekanan kepada keluarga.
Dalam pada itu, PEMADAM Selangor akan terus memperkukuh pendidikan pencegahan dalam kalangan belia berisiko, memantapkan rujukan kepada perkhidmatan AADK serta menggalakkan penglibatan keluarga dalam proses pemulihan.
“Rekod yang baik ini perlu menjadi dorongan untuk memperluas usaha di kawasan yang memerlukan perhatian, dengan tumpuan kepada pencegahan penagihan baharu dan sokongan berterusan kepada mereka yang sedang pulih,” katanya.







