SEPANG, 21 OKT: Kedudukan Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain sebagai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) tidak berubah setakat ini meskipun beliau berdepan dua pertuduhan mencederakan anggota polis di mahkamah hari ini.
Peguamnya, Datuk Rosal Azimin Ahmad berkata anak guamnya akan terus menjalankan tugas seperti biasa selagi tiada arahan pentadbiran yang menetapkan sebaliknya.
Menurutnya, sebarang keputusan berkaitan kedudukan Mohd Shuhaily dalam perkhidmatan awam tertakluk kepada pihak berkuasa pentadbiran berkaitan.
“Setakat ini, tanpa sebarang arahan, beliau tetap akan bertugas seperti biasa,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas prosiding di Kompleks Mahkamah Sesyen dan Majistret Sepang, hari ini.
Mengulas prosiding itu, Rosal berkata mahkamah membenarkan Mohd Shuhaily diikat jamin RM1,500 bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlah keseluruhan RM3,000 dengan seorang penjamin.
Jumlah berkenaan lebih rendah berbanding RM5,000 bagi setiap pertuduhan atau RM10,000 keseluruhannya yang dicadangkan pihak pendakwaan.
“Proses pertuduhan dan jaminan sudah selesai. Mahkamah membenarkan jaminan RM1,500 bagi setiap pertuduhan,” katanya.
Beliau berkata, mahkamah menetapkan 25 November depan untuk sebutan semula kes, sementara pihak pembelaan menunggu dokumen berkaitan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.
Menurutnya, dokumen berkenaan akan diteliti sebelum pihak pembelaan membincangkan tindakan lanjut, termasuk kemungkinan mengemukakan representasi.
Mengulas keadaan anak guamnya, Rosal berkata Mohd Shuhaily reda dan bersedia menghadapi proses perundangan yang sedang berlangsung.
“Beliau reda dengan apa yang berlaku dan tidak menyalahkan mana-mana pihak,” katanya.
Terdahulu, Mohd Shuhaily, 54, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan berkaitan dakwaan mencederakan anggota Cawangan Khas, Mohammad Faiz Muhamad Saman, 40, dan Muhammad Ekmal Sofwan Driman.
Pertuduhan itu membabitkan kejadian di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.
Kes berkenaan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, video tular memaparkan seorang lelaki menyerupai Mohd Shuhaily memarahi dua lelaki di lapangan terbang, dengan seorang daripadanya kelihatan ditarik pada bahagian telinga.







