Kes tidak senonoh terhadap kucing, lelaki direman tujuh hari

20 Okt 2026, 6:10 AM
Kes tidak senonoh terhadap kucing, lelaki direman tujuh hari

SHAH ALAM, 20 OKT: Seorang pembuat papan pemotong direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung perbuatan tidak senonoh terhadap seekor kucing di Selinsing, Pasir Puteh hari ini.

Perintah reman bermula hari ini sehingga Isnin depan dikeluarkan Majistret Nik Mohd Fadli Datuk Nik Azlan.

Suspek berusia 49 tahun itu ditahan polis kira-kira jam 10 pagi semalam susulan laporan berhubung penyebaran video berdurasi 56 saat yang memaparkan perbuatan berkenaan.

Video terbabit menunjukkan seorang lelaki melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap seekor kucing di sebuah kediaman di Selinsing.

Terdahulu, suspek tiba di mahkamah kira-kira jam 9 pagi dengan tangan bergari sambil diiringi anggota polis, lapor Harian Metro.

Lelaki itu dilihat memakai baju-T hitam dan seluar panjang berwarna krim ketika dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman.

Suspek yang belum berkahwin turut mempunyai empat rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah dan pecah rumah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sebelum ini, penyebaran video yang dimuat naik lelaki berkenaan mencetuskan kemarahan dalam kalangan pencinta haiwan dan masyarakat yang menggesa tindakan undang-undang diambil terhadap pelaku.

Sementara itu, polis turut menyiasat dakwaan bahawa suspek mengalami masalah kesihatan mental dan memiliki kad perubatan hospital.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.