Jerebu: Sekolah di Selangor buka 19 Oktober, aktiviti luar ditangguh

18 Okt 2026, 7:41 AM
Jerebu: Sekolah di Selangor buka 19 Oktober, aktiviti luar ditangguh
Jerebu: Sekolah di Selangor buka 19 Oktober, aktiviti luar ditangguh

SHAH ALAM, 18 OKT: Semua institusi pendidikan di bawah pentadbiran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor akan beroperasi seperti biasa esok (19 Oktober), namun semua aktiviti luar ditangguhkan susulan keadaan jerebu.

JPN Selangor memaklumkan murid yang hadir ke sekolah digalakkan memakai pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko kesihatan.

“Ibu bapa atau penjaga yang bimbang terhadap kesihatan anak-anak dibenarkan tidak menghantar mereka ke sekolah dengan syarat memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah.

“Pihak pentadbir sekolah juga diminta memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta memberikan perhatian khusus kepada murid berisiko tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Keadaan berjerebu di sekitar Cyberjaya mengehadkan jarak penglihatan sehingga bangunan kelihatan samar, seperti dirakam berhampiran laluan Transit Aliran Massa (MRT). Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

JPN Selangor turut menasihatkan ibu bapa, penjaga dan warga sekolah supaya merujuk saluran komunikasi rasmi jabatan atau pihak sekolah bagi mendapatkan maklumat sahih dan terkini.

Sementara itu, berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), lima kawasan di Selangor merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat setakat jam 3.20 petang ini.

Johan Setia mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 159, diikuti Shah Alam (157), Klang (155), Petaling Jaya (154) dan Banting (153).

Kuala Selangor kekal satu-satunya stesen pemantauan di Selangor yang mencatatkan bacaan IPU sederhana, iaitu 78.

Bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat.

Perkembangan terkini kualiti udara boleh disemak menerusi portal APIMS kendalian JAS.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.