Nik Nazmi akui ditahan JAIS, nafi perbuatan sumbang tetapi mohon maaf 

17 Okt 2026, 4:54 AM
Nik Nazmi akui ditahan JAIS, nafi perbuatan sumbang tetapi mohon maaf 

SHAH ALAM, 17 OKT: Pemimpin parti BERSAMA, Nik Nazmi Nik Ahmad mengesahkan beliau merupakan salah seorang individu yang ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam insiden berkait kes berkhalwat di sebuah tempat tertutup di Petaling Jaya.

Menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Nik Nazmi menjelaskan bahawa kejadian berkenaan berlaku pada 15 Oktober lalu.

Menurut beliau, perbincangan awal yang diadakan bersama rakan-rakannya bermula di sebuah studio di Brickfields, Kuala Lumpur, sebelum diteruskan ke lokasi di Petaling Jaya bagi meneliti beberapa bahan berkaitan projek yang sedang dibincangkan.

"Pada masa pegawai JAIS tiba, sememangnya hanya saya dan wanita tersebut yang ada. Saya mengakui itu adalah suatu kesalahan," katanya.

Walau bagaimanapun, beliau menafikan ada melakukan perbuatan tidak bermoral sewaktu serbuan tersebut dilakukan.

"Seperti yang saya maklumkan juga kepada pegawai JAIS, kami sememangnya tidak melakukan apa-apa tindakan sumbang yang menimbulkan syak wasangka," jelasnya lagi.

Ekoran insiden tersebut, Nik Nazmi mengemukakan permohonan maaf terbuka kepada isteri, ahli keluarga serta pihak yang terkesan atas kesilapan pertimbangan yang dibuatnya pada waktu kejadian.

Beliau turut memohon maaf kepada parti BERSAMA, para ahli, dan penyokong kerana mengecewakan mereka serta mengakui isu tersebut memberi kesan negatif kepada imej parti.

Tegasnya lagi, beliau bersedia menerima apa jua keputusan daripada pihak parti dan memberi kerjasama penuh terhadap sebarang proses perundangan.

Mengakhiri kenyataannya, Nik Nazmi berharap agar semua pihak memberi ruang dengan menghormati proses perundangan yang sedang berjalan serta tidak memanjangkan isu tersebut menerusi saluran media.

Semalam, JAIS mengesahkan dua individu ditahan bagi membantu siasatan kes khalwat membabitkan seorang figura awam di sekitar daerah Petaling, petang semalam.

Pengarah JAIS Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata tangkapan dilakukan kira-kira jam 6 petang berhubung kesalahan yang disyaki dilakukan mengikut Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Menurutnya, jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.