SHAH ALAM, 16 OKT: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di enam kawasan di Selangor kekal pada tahap tidak sihat setakat jam 8 pagi ini, dengan Johan Setia mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 184.
Selain itu, lima kawasan lain yang turut merekodkan IPU tidak sihat ialah Klang (180), Petaling Jaya (171), Shah Alam (170), Banting (169) dan Kuala Selangor (155).
Berdasarkan data IPU setakat jam 8 pagi, sebanyak 30 kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan tidak sihat, manakala satu kawasan berada pada tahap sangat tidak sihat.
Pasir Gudang, Johor merekodkan bacaan IPU tertinggi di negara ini iaitu 206, sekali gus menjadi satu-satunya kawasan yang mencatatkan tahap sangat tidak sihat.
Sementara itu, Larkin, Johor mencatatkan IPU tidak sihat tertinggi dengan bacaan 193, diikuti Nilai, Negeri Sembilan (189), Johan Setia (184) dan Seremban, Negeri Sembilan (181).
Beberapa kawasan lain turut merekodkan bacaan tinggi termasuk Bandaraya Melaka (179), Bukit Rambai, Melaka (178), Pengerang, Johor (176) dan Putrajaya (173).
Dalam pada itu, sebanyak 37 kawasan lain di seluruh negara mencatatkan bacaan IPU sederhana setakat jam 8 pagi ini.
Mengikut pengelasan IPU, bacaan antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya.








