SHAH ALAM, 15 OKT: Semua institusi pendidikan di bawah pentadbiran Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPN Selangor) akan beroperasi seperti biasa esok, namun semua aktiviti luar ditangguhkan susulan keadaan jerebu.
JPN Selangor turut menggalakkan murid yang hadir ke sekolah memakai pelitup muka bagi mengurangkan pendedahan kepada jerebu.
Ibu bapa yang bimbang akan kesihatan anak masing-masing juga dibenarkan tidak menghantar mereka ke sekolah dengan memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah.
“Bagi menjamin kesihatan warga sekolah, JPN Selangor dan pihak pentadbir akan sentiasa memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) daripada Jabatan Alam Sekitar secara berkala serta memberi perhatian khusus kepada murid berisiko tinggi.
“Ibu bapa dan penjaga dinasihatkan agar sentiasa merujuk saluran komunikasi rasmi JPN Selangor atau sekolah untuk mendapatkan maklumat yang sahih dan terkini,” menurut kenyataan itu.










