SHAH ALAM, 15 OKT: Kebakaran hutan di Kalimantan, Indonesia semakin membimbangkan apabila kawasan seluas 57,081 hektar dilaporkan musnah, bersamaan lebih separuh keluasan negeri Perlis.
Pakar kesihatan persekitaran dan pekerjaan, Prof Dr Haliza Abdul Rahman berkata Kalimantan Barat merekodkan kawasan kebakaran terbesar iaitu 38,310 hektar atau 67.1 peratus daripada keseluruhan kawasan terjejas.
Menurutnya, data sistem Sipongi Kementerian Kehutanan Indonesia dan Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) turut menunjukkan Kalimantan Tengah mencatat kebakaran seluas 7,634 hektar, diikuti Kalimantan Selatan (3,387 hektar) dan Kalimantan Timur (1,288 hektar).
Beliau berkata meskipun kebakaran itu hanya membabitkan 0.106 peratus daripada keseluruhan keluasan geografi Kalimantan, kesannya terhadap alam sekitar serantau amat besar.
“Pembakaran tanah gambut boleh menghasilkan asap lebih banyak dan berlarutan kerana api berupaya merebak di bawah permukaan tanah yang menyukarkan usaha pemadaman sepenuhnya.
“Asap daripada kebakaran terbuka itu juga dibawa angin merentasi sempadan termasuk ke Malaysia dan Singapura, bergantung pada arah dan kelajuan angin serta keadaan atmosfera semasa,” katanya seperti dilapor BH.

Dr Haliza menjelaskan keadaan itu antara faktor yang menyebabkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berubah-ubah, terutama apabila angin membawa asap ke kawasan berpenduduk.
Selain menjejaskan kualiti udara, kebakaran hutan dan tanah gambut turut membebaskan karbon dioksida serta bahan pencemar lain yang menyumbang kepada perubahan iklim.
Sementara itu, pakar klimatologi dan perubahan iklim, Prof Dr Fredolin Tangang berkata cuaca panas dan kering dijangka berterusan di Kalimantan serta Sumatera, sekali gus meningkatkan risiko kebakaran hutan.
Menurutnya, keadaan sama turut berpotensi mencetuskan kebakaran tempatan, manakala cuaca panas dan kering di Sabah serta utara Semenanjung dijangka berlanjutan hingga awal tahun depan.
Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 60 penerbangan pembenihan awan dilaksanakan di seluruh negara setakat Isnin lalu bagi menangani cuaca kering dan kesan jerebu.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata operasi itu mencatat kadar kejayaan melebihi 90 peratus dalam menghasilkan hujan di kawasan sasaran.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan kadar kejayaan berkenaan merujuk kepada kejadian hujan selepas operasi dan bukannya peningkatan jumlah taburan hujan, selain tidak semestinya berpunca sepenuhnya daripada pembenihan awan.
Setakat jam 8 pagi tadi, enam kawasan di Selangor merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat dengan dua daripadanya menghampiri paras 200.
Klang dan Johan Setia mencatat bacaan tertinggi masing-masing 192, diikuti Shah Alam (180), Banting (170), Petaling Jaya (169) dan Kuala Selangor (161).
Secara keseluruhan, 34 kawasan di seluruh negara mencatat IPU tidak sihat manakala 34 kawasan lagi berada pada tahap sederhana.









