KUALA LUMPUR, 14 OKT: Sebanyak 27 kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 9 pagi ini, dengan Pasir Gudang, Johor merekodkan bacaan tertinggi iaitu 177.
Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Johor, selain Pasir Gudang, Kota Tinggi merekodkan bacaan IPU 166, Larkin (164), Pengerang (162), Batu Pahat (154), Kluang (152) dan Tangkak (151).
Di Negeri Sembilan, Nilai merekodkan bacaan IPU 174, Port Dickson (165), dan Seremban (160), manakala beberapa kawasan di Selangor turut terjejas melibatkan Klang (173), Johan Setia (173), Banting (160), Shah Alam (159), dan Petaling Jaya (154).
Sementara itu, di Melaka, kawasan yang mencatat IPU tidak sihat ialah Bukit Rambai (169), Bandaraya Melaka (164), dan Alor Gajah (156), manakala di Kuala Lumpur melibatkan Cheras (168) dan Batu Muda (164).
Kawasan lain yang turut mencatatkan bacaan tidak sihat ialah Putrajaya (165), Terengganu di Kemaman (156) dan Paka (155), Pahang di Indera Mahkota Kuantan (155) dan Rompin (153), serta Sarawak di IPD Serian (153) dan Sri Aman (134).
Sebanyak 41 kawasan mencatat bacaan IPU pada tahap sederhana, manakala satu kawasan merekodkan bacaan pada tahap baik.
Bacaan IPU antara sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 berada pada tahap berbahaya.
-- BERNAMA








