SHAH ALAM, 13 OKT: Pasir Gudang, Johor mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi di negara ini iaitu 175 setakat 9 malam, ketika 26 kawasan pemantauan merekodkan tahap pencemaran udara tidak sihat.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), dua lagi kawasan di Johor turut merekodkan bacaan tinggi iaitu Larkin (167) dan Kota Tinggi (165).
Di Melaka, Bukit Rambai mencatatkan bacaan IPU 169, diikuti Bandaraya Melaka (168) dan Alor Gajah (156).
Sementara itu, di Negeri Sembilan, Nilai merekodkan bacaan 162, diikuti Seremban (158) dan Port Dickson (155).
Di Selangor, Johan Setia mencatatkan bacaan IPU 161, manakala Klang merekodkan 157, Shah Alam (152) dan Banting (142).
Bagi Sarawak, Sri Aman merekodkan bacaan 155, manakala Tawau menjadi satu-satunya kawasan di Sabah yang mencatatkan IPU tidak sihat iaitu 145.
Mengikut kategori APIMS, bacaan IPU antara 51 hingga 100 diklasifikasikan sebagai sederhana, manakala bacaan antara 101 hingga 200 berada pada tahap tidak sihat.






