Pemandu teksi, kereta sewa terima bantuan khas RM1,000 seawal Rabu ini

12 Okt 2026, 7:20 AM
Pemandu teksi, kereta sewa terima bantuan khas RM1,000 seawal Rabu ini

PUTRAJAYA, 12 OKT: Bantuan khas kewangan secara sekali bayar sebanyak RM1,000 kepada 38,000 pemandu teksi termasuk kereta sewa akan mula diagihkan secara berfasa bermula pada Rabu ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Bercakap pada sidang media di sini hari ini, Loke berkata pengagihan bantuan itu akan dimulakan dengan kumpulan pertama yang diundang ke Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk menerima baucar sebelum disusuli kumpulan lain secara berperingkat.

"Jadi, susulan daripada perkara yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (menerusi Belanjawan 2027), maka bermula seawal Rabu ini, kita akan mengagihkan bantuan ini secara berfasa. Kita komited untuk memberikan bantuan dalam tempoh terdekat supaya pemandu beragama Hindu dapat bantuan ini sebelum Deepavali.

"Ada yang bertanya mengapa bantuan ini dapat diberi walaupun belanjawan baru sahaja dibentangkan, belum diluluskan. Saya nak memberikan penjelasan bahawa perkara yang diumumkan oleh Perdana Menteri itu, hasilnya sudah masuk untuk tahun ini, iaitu penjualan nombor siri atau NPI (Nombor Pendaftaran Istimewa) H," katanya.

Media sebelum ini melaporkan bidaan nombor pendaftaran khas siri H mencatat kutipan sebanyak RM91.2 juta.

Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2027 bertemakan "Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi" pada Jumaat lepas berkata bantuan itu akan disalurkan pada minggu ini sebagai antara langkah memulangkan hasil penjualan nombor pendaftaran khas itu kepada rakyat.

Dalam perkembangan berasingan, Loke berkata pas MyKomuter50 berharga RM50 sebulan dijangka dilaksanakan selewat-lewatnya pada 1 Januari tahun depan.

Beliau berkata pas bulanan itu membolehkan warganegara Malaysia menggunakan perkhidmatan KTM Komuter tanpa had selama 30 hari, sekali gus membantu mengurangkan kos pengangkutan dan sara hidup.

"Sebelum ini, memang agak sukar untuk memperkenalkan tanpa apa-apa peruntukan dan juga kelulusan daripada Kementerian Kewangan (MOF), kerana komuter ini melibatkan perjalanan yang lebih jauh.

"(Harga) tiketnya lebih tinggi, jadi dengan kelulusan daripada MOF, maka kita dengan sukacitanya akan bekerjasama dengan pihak KTMB (Keretapi Tanah Melayu Bhd) untuk memperkenalkan pas My50 untuk komuter, iaitu MyKomuter50," katanya.

Loke berkata pelaksanaan pas itu sedang diusahakan bersama dengan KTMB, termasuk persediaan sistem tiket bagi memudahkan pengguna mendapatkan pas berkenaan.

Beliau berkata kerajaan turut merancang menambah baik perkhidmatan KTM Komuter, termasuk pengoperasian 12 set tren baharu di sektor utara seawal Februari tahun depan serta peningkatan kekerapan tren di Lembah Klang secara berperingkat.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.