SHAH ALAM, 12 OKT: Keadaan jerebu di Johan Setia, Klang terus memburuk apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) meningkat kepada 136 setakat jam 1.05 tengah hari ini, berbanding 129 pagi tadi.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Johan Setia kekal menjadi satu-satunya kawasan di Selangor yang mencatatkan bacaan tidak sihat.
Lima kawasan lain merekodkan bacaan sederhana iaitu Banting (87), Klang (82), Shah Alam (74), Petaling Jaya (66) dan Kuala Selangor (61).
Berbanding jam 8.22 pagi tadi, bacaan IPU di Banting meningkat daripada 85 kepada 87, manakala Klang naik daripada 80 kepada 82.
Sebaliknya, Petaling Jaya mencatatkan penurunan daripada 69 kepada 66, Kuala Selangor daripada 63 kepada 61 dan Shah Alam daripada 75 kepada 74.
Di seluruh negara, sebanyak 22 kawasan mencatatkan IPU tidak sihat dengan Pasir Gudang, Johor merekodkan bacaan tertinggi iaitu 171, diikuti Kota Tinggi (170), Seremban (166), Pengerang (164) dan Nilai (163).
Putrajaya turut mencatatkan peningkatan IPU daripada 146 pagi tadi kepada 153 tengah hari ini, sekali gus beralih daripada tahap sederhana kepada tidak sihat.
Sebanyak 43 kawasan lain merekodkan bacaan sederhana termasuk Cheras, Kuala Lumpur (99), Segamat, Johor (96) dan Samarahan, Sarawak (95).
Mengikut kategori APIMS, bacaan IPU antara 51 hingga 100 diklasifikasikan sebagai sederhana, manakala 101 hingga 200 berada pada tahap tidak sihat.
Sementara itu, semua sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat, Gombak dan Petaling Perdana di Selangor kekal ditutup hari ini susulan keadaan jerebu.
Sekolah di bawah PPD lain di negeri ini dibenarkan beroperasi seperti biasa berdasarkan pengumuman Kementerian Pendidikan (KPM) semalam.
Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata keputusan penutupan sekolah mengambil kira keadaan semasa setiap kawasan memandangkan bacaan IPU boleh berubah mengikut masa dan lokasi.
Beliau turut menegaskan keselamatan dan kesihatan murid menjadi keutamaan, selain memastikan ibu bapa mendapat maklumat awal bagi memudahkan urusan persekolahan anak-anak.
Ibu bapa dan warga sekolah dinasihatkan mengikuti pengumuman rasmi KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) serta PPD masing-masing bagi mendapatkan perkembangan terkini.







