SHAH ALAM, 12 OKT: Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff cedera selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaikinya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 7, Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU), berhampiran Kechau Tui, Lipis, semalam.
Dalam kejadian itu, Siti Zailah, 63, bersama anak perempuannya berusia 26 tahun dalam perjalanan dari Gua Musang menuju ke Kuala Lumpur bagi urusan kerja.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata anak perempuan Siti Zailah yang memandu SUV berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum kenderaan itu terbabas lalu melanggar penghadang jalan.
Beliau berkata, Siti Zailah mengalami kecederaan pada bahagian dada dan perut sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis untuk mendapatkan rawatan.
“Bagaimanapun, anak perempuannya tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini, seperti dilaporkan BH Online.
Pada 2024, Siti Zailah pernah mengalami kecederaan ringan apabila trak pikap dinaikinya terbabit dalam kemalangan di Jalan Bukit Antarabangsa, Selangor.







