Jerebu Selangor: Johan Setia semakin buruk, IPU meningkat kepada 129

12 Okt 2026, 12:30 AM
Jerebu Selangor: Johan Setia semakin buruk, IPU meningkat kepada 129

SHAH ALAM, 12 OKT: Keadaan jerebu di Johan Setia, Klang semakin memburuk apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) meningkat kepada 129 pagi ini, berbanding 86 yang direkodkan semalam.

Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat jam 8.22 pagi, Johan Setia menjadi satu-satunya kawasan di Selangor yang mencatatkan tahap pencemaran udara tidak sihat.

Lima lagi stesen pemantauan di negeri ini merekodkan bacaan sederhana, dengan Banting mencatatkan IPU 85, diikuti Klang (80), Shah Alam (75), Petaling Jaya (69) dan Kuala Selangor (63).

Berbanding pagi semalam, bacaan IPU di Petaling Jaya menurun daripada 89 kepada 69, manakala Shah Alam daripada 87 kepada 75 dan Kuala Selangor daripada 72 kepada 63.

Bagaimanapun, bacaan di Banting meningkat daripada 61 kepada 85, sementara Klang naik sedikit daripada 78 kepada 80.

Di seluruh negara, sebanyak 22 kawasan mencatatkan IPU tidak sihat dengan Kota Tinggi, Johor merekodkan bacaan tertinggi iaitu 170, diikuti Pasir Gudang (168), Seremban (164), Pengerang (164) dan Nilai (163).

Kawasan lain yang turut mencatatkan bacaan tinggi termasuk Balok Baru, Kuantan (162), Larkin (160), Rompin (157), Kemaman (157) dan Paka (156).

Sebanyak 42 kawasan lagi berada pada tahap sederhana, termasuk Bandaraya Melaka (99), Tawau (97) dan Miri (90).

Mengikut kategori APIMS, bacaan IPU antara 51 hingga 100 diklasifikasikan sebagai sederhana, manakala 101 hingga 200 berada pada tahap tidak sihat.

Sekolah tiga PPD kekal ditutup

Susulan keadaan jerebu, semua sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat, Gombak dan Petaling Perdana kekal ditutup hari ini.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek menerusi hantaran Facebook semalam memaklumkan sekolah di bawah PPD lain di Selangor dibenarkan beroperasi seperti biasa.

Arahan penutupan turut melibatkan semua sekolah di Johor serta sekolah di bawah PPD Bangsar Pudu di Kuala Lumpur.

Sementara itu, sekolah di Melaka, Pulau Pinang, Putrajaya, Labuan, Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Sabah dan Sarawak beroperasi seperti biasa.

Dalam kenyataan berasingan, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor turut mengesahkan penutupan penuh sekolah di bawah tiga PPD berkenaan berdasarkan perkembangan bacaan IPU.

Jabatan itu meminta pihak sekolah memaklumkan status operasi kepada ibu bapa dan penjaga, selain mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan serta kesihatan murid sentiasa terpelihara.

Terdahulu, sekolah di Selangor diarahkan tutup mulai 9 Oktober susulan keadaan jerebu yang menjejaskan kualiti udara di negeri ini.

Ibu bapa dan warga sekolah dinasihatkan mengikuti makluman rasmi Kementerian Pendidikan (KPM), JPN dan PPD masing-masing bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai pengoperasian sekolah.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.