SHAH ALAM, 11 OKT: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengesahkan tiada keperluan setakat ini untuk membawa pulang penuntut Malaysia di Arab Saudi susulan serangan di dua lapangan terbang antarabangsa di negara itu.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, majoriti penuntut Malaysia berada jauh dari lokasi serangan, manakala laporan semasa mengesahkan semua rakyat Malaysia di negara itu berada dalam keadaan selamat, lapor Berita Harian.
Bagaimanapun, KPT bersama Kementerian Luar terus memantau perkembangan semasa bagi memastikan keselamatan penuntut Malaysia terpelihara.
“KPT sentiasa berhubung rapat dengan Kementerian Luar yang akan memaklumkan sebarang perkembangan terkini.
“Setakat ini tiada keperluan untuk penghantaran pulang penuntut. Pemantauan rapi juga dilakukan memandangkan mereka berada di beberapa kawasan utama seperti Makkah dan Madinah,” katanya.
Beliau ditemui selepas Program Bantuan Pendidikan Bersasar Institut Pengajian Tinggi (IPT) di TVET MARA Lumut, di sini hari ini.
Pada program itu, seramai 400 penuntut IPT daripada keluarga B40 di sekitar Parlimen Lumut menerima bantuan kewangan sekali bayar sebanyak RM500 sebagai persediaan mendaftar masuk ke institusi pengajian tinggi.
Zambry berkata, laporan rasmi setakat ini mengesahkan tiada penuntut Malaysia terjejas atau berada di kawasan berisiko.
“Tiada laporan yang menunjukkan keselamatan mereka dalam bahaya, namun jika ada keperluan kelak, perbincangan lanjut akan diadakan bersama Kementerian Luar,” katanya.





