AGENDA

Lembaga Peperiksaan bantu mangsa Putra Heights dapatkan sijil pendidikan

9 Apr 2025, 8:00 AM
Lembaga Peperiksaan bantu mangsa Putra Heights dapatkan sijil pendidikan

SUBANG JAYA, 9 APRIL: Lembaga Peperiksaan Malaysia membuka kaunter di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights bagi membantu mangsa letupan saluran gas Petronas mendapatkan semula sijil pendidikan.

Penolong pengarah unit maklumat dan pemproses keputusan berkata kaunter dibuka sejak semalam hingga esok itu akan memudahkan urusan permohonan mangsa selepas dokumen penting mereka terbakar.

“Permohonan adalah secara percuma. Jadi mangsa boleh datang dan mendapatkan semula sijil pendidikan mereka di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Sijil boleh dapat terus. Namun ada dokumen yang perlukan beberapa hari namun kami akan hantar ke sini semula.

“Kalau buat permohonan di luar, mereka dikenakan RM30 untuk sekeping sijil,” kata Siti Shazwani Saadon kepada Media Selangor.

Selain LPM, Lembaga Zakat Selangor dan beberapa syarikat insurans turut membuka kaunter bagi memudahkan urusan mangsa.

Sebelum ini Jabatan Pendaftaran Negara turut ditempatkan di PPS berkenaan memandangkan ramai mangsa kehilangan dokumen pengenalan diri.

Dalam kejadian 1 April lalu, saluran gas Petronas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights terbakar yang menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Kebakaran turut menyebabkan terbentuknya kawah berkedalaman 9.8 meter dengan keluasan kira-kira 21X24 meter di lokasi kejadian.