Belanjawan 2027 buka peluang baharu pacu pertumbuhan ekonomi Selangor

11 Okt 2026, 3:47 AM
Belanjawan 2027 buka peluang baharu pacu pertumbuhan ekonomi Selangor
Belanjawan 2027 buka peluang baharu pacu pertumbuhan ekonomi Selangor

SHAH ALAM, 11 OKT: Pertumbuhan ekonomi Selangor dijangka terus bergerak seiring prestasi ekonomi negara, dengan tumpuan Belanjawan 2027 terhadap teknologi, pelaburan industri dan pembangunan infrastruktur berpotensi membuka lebih banyak peluang kepada negeri itu.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kedudukan strategik Selangor sebagai antara pusat ekonomi utama negara membolehkan negeri itu menerima kesan langsung daripada perkembangan ekonomi di peringkat nasional.

Menurutnya, Selangor juga sudah mempunyai pelbagai projek pembangunan yang sedang dilaksanakan, termasuk Shah Alam Sentral (SA Sentral), pembangunan taman reka bentuk litar bersepadu (IC) serta usaha pembangunan bandar yang berterusan.

“Antara pembangunan infrastruktur penting ialah Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka mula beroperasi tahun depan. Projek ini berpotensi menjadi pemangkin utama kepada ekonomi Selangor.

“Ekonomi Selangor mencerminkan keadaan ekonomi Malaysia. Oleh itu, perkembangan di peringkat nasional turut memberi kesan kepada negeri ini memandangkan kedudukan ekonominya yang strategik,” katanya kepada Media Selangor menerusi temu bual telefon.

Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan kos sara hidup, meningkatkan kebajikan pekerja dan memperkukuh ekonomi negara.

Antara langkah diumumkan ialah peningkatan pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000 serta pengurangan kadar cukai pendapatan sebanyak satu mata peratusan bagi pendapatan tahunan antara RM70,000 hingga RM150,000.

Gaji minimum turut dinaikkan daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027.

Selain itu, lebih 9,000 doktor kontrak akan ditawarkan jawatan tetap, manakala insentif pascabasik bagi jururawat dan anggota paramedik digandakan kepada RM200 sebulan.

Peruntukan keseluruhan bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pula meningkat kepada RM16 bilion, dengan bantuan SARA sehingga RM150 sebulan.

Langkah lain termasuk peluasan pelepasan cukai bagi pengambilan haiwan peliharaan angkat dan vaksinasi, pakej sokongan RM160 juta kepada pekerja gig serta Bantuan Khas Kewangan RM1,500 kepada penjawat awam yang layak dan RM750 kepada pesara kerajaan.

Imbangi pertumbuhan ekonomi, kos sara hidup

Mengulas prospek ekonomi secara keseluruhan, Mohd Afzanizam berkata langkah dalam Belanjawan 2027 menunjukkan usaha kerajaan mengimbangi keperluan pertumbuhan ekonomi dengan tekanan kewangan yang dihadapi rakyat.

Menurutnya, risiko kenaikan inflasi memerlukan campur tangan kerajaan bagi melindungi kuasa beli isi rumah, terutama apabila peningkatan kos operasi perniagaan berkemungkinan dipindahkan kepada pengguna melalui kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

“Jika dilihat kepada unjuran kerajaan bagi tahun depan, kadar inflasi dijangka sekitar 1.8 hingga 2.8 peratus. Itu agak tinggi.

“Keadaan ini munasabah apabila Indeks Harga Pengeluar (IHPR) terkini berada sekitar 10.7 peratus setakat Ogos. Ini bermakna peniaga sedang berdepan peningkatan kos operasi dan pada satu ketika, mereka mungkin memindahkan kos tambahan itu kepada pengguna,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata kenaikan gaji minimum juga penting bagi menangani masalah gaji rendah dan kelemahan dalam pasaran buruh.

Bagaimanapun, usaha meningkatkan gaji permulaan graduan memerlukan penglibatan lebih besar daripada majikan sektor swasta.

Menurutnya, kerajaan boleh menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) menawarkan gaji permulaan lebih baik, namun syarikat swasta mempunyai kuasa menentukan kadar gaji pekerja masing-masing.

Sementara itu, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai dari Malaysia University of Science and Technology (MUST) berkata perubahan struktur ekonomi dalam jangka panjang memerlukan lebih banyak pelaburan teknologi, peningkatan produktiviti serta budaya keusahawanan dan inovasi yang kukuh.

Beliau berkata pendekatan sama boleh dilaksanakan di Selangor bagi memperkukuh pembangunan ekonomi negeri.

“Perkara paling penting ialah bagaimana kita menggalakkan pelaburan dalam teknologi, meningkatkan produktiviti serta membangunkan masyarakat yang mempunyai budaya keusahawanan dan inovasi.

“Semua ini merupakan langkah jangka panjang yang memerlukan tindakan berani untuk mengubah struktur ekonomi Malaysia dan ia boleh dilaksanakan,” katanya.

Menurut Barjoyai, usaha berkenaan penting bagi memastikan pembangunan ekonomi negara tidak hanya bergantung kepada langkah dasar yang memberi kesan dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun, beliau berpandangan lebih banyak inisiatif khusus diperlukan bagi menangani keperluan ekonomi jangka sederhana dan panjang, di samping membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup.

Katanya, peruntukan pembangunan sebanyak RM80 bilion dalam Belanjawan 2027 mencerminkan tumpuan berterusan kerajaan terhadap usaha merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

Belanjawan 2027 yang dibentangkan pada Jumaat lalu memperuntukkan anggaran perbelanjaan Persekutuan sebanyak RM460 bilion bagi tahun depan, menjadikannya belanjawan terbesar setakat ini.

Jumlah itu meningkat kira-kira 3.6 peratus berbanding anggaran perbelanjaan 2026 yang telah disemak.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.