SHAH ALAM, 11 OKT: Kejayaan Selangor menganjurkan pengajian kitab turath selama tiga tahun berturut-turut sehingga diperluas ke peringkat Persekutuan tahun ini merupakan pencapaian luar biasa dalam usaha memperkukuh tradisi keilmuan Islam.
Ketua Lajnah Fatwa Majlis Agama Islam Patani Pondok Sekam, Thailand, Baba Ghazali Ahmad menyifatkan usaha itu wajar diteruskan bagi memelihara warisan keilmuan Islam, selain memberi peluang kepada masyarakat mendalami ilmu agama melalui karya ulama terdahulu.
“Kitab turath ini ditulis ulama terdahulu dengan penuh keikhlasan hati untuk menyampaikan ilmu Allah dan menerangkan kebenaran. Sebab itu saya rasa bangga dan seronok apabila ada program yang menghidupkannya.
“Program boleh berjalan tiga tahun berturut di Selangor dalam festival turath Islami, satu perkara yang sangat-sangat luar biasa,” katanya dalam Majlis Pengajian Turath Islami di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar di sini, semalam.
Beliau yang juga Sarjana Tamu di Pusat Khazanah Ilmu Turath (U-KIT), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkata keberkatan karya ulama terdahulu menulis dapat dilihat menerusi manfaatnya yang berterusan kepada generasi penuntut ilmu.
Katanya, kitab warisan terus dipelajari dan dihuraikan oleh ulama melalui penulisan syarah, sekali gus membuktikan sumbangan karya turath dalam perkembangan ilmu Islam.
“Barakahnya, masya-Allah. Ulama, tokoh besar-besar daripada ulama yang alim. Saya harap majlis ilmu turath di Selangor dapat diteruskan bagi memastikan tradisi pengajian kitab ulama terus subur serta memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Festival Turath Islami Selangor (FTIS) yang memasuki edisi keempat tahun ini telah diangkat ke peringkat nasional buat julung kalinya sebagai Festival Turath Islami Malaysia (FTIM) 2026.
Penganjuran festival itu adalah kesinambungan kepada tiga siri FTIS sebelum ini yang bertujuan memartabatkan khazanah turath Islami sebagai asas pembangunan insan dan pembentukan akhlak umat Islam.
Antara ulama terkemuka ditampilkan termasuk bekas mufti besar Mesir Syeikh Dr. Ali Jum’ah ulama terkemuka Maghribi Prof. Dr. Sayyid Idris al-Fasi al-Fihri; Ustaz Dr. Adi Hidayat (sarjana ilmu al-Quran dan Hadis Indonesia); Ustaz Wadi Annuar serta Mufti Selangor Dato' Setia Dr. Anhar Opir.






