Jerebu: Semua kawasan Selangor rekod tahap pencemaran udara sederhana pagi ini

11 Okt 2026, 12:00 AM
Jerebu: Semua kawasan Selangor rekod tahap pencemaran udara sederhana pagi ini

SHAH ALAM, 11 OKT: Semua enam stesen pemantauan kualiti udara di Selangor mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sederhana setakat jam 7.29 pagi ini, dengan Petaling Jaya merekodkan bacaan tertinggi iaitu 89.

Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Shah Alam mencatatkan IPU 87, diikuti Johan Setia (86), Klang (78), Kuala Selangor (72) dan Banting (61).

Bacaan itu menunjukkan tiada kawasan di Selangor berada pada tahap tidak sihat pagi ini, ketika 18 kawasan lain di seluruh negara masih mencatatkan IPU melebihi 100.

Pasir Gudang, Johor merekodkan bacaan tertinggi negara iaitu 182, diikuti Larkin (179), Tangkak (167), Kota Tinggi (166) dan Segamat (164).

Kawasan lain yang turut mencatatkan udara tidak sihat termasuk Cheras, Kuala Lumpur (160), Balok Baru, Kuantan (158) serta Kemaman, Terengganu (155).

Mengikut kategori APIMS, bacaan IPU antara 51 hingga 100 diklasifikasikan sebagai sederhana, manakala 101 hingga 200 berada pada tahap tidak sihat.

Sebelum ini, sekolah di Selangor diarahkan tutup mulai 9 Oktober sehingga dimaklumkan semula susulan keadaan jerebu yang menjejaskan kualiti udara.

Sepanjang tempoh penutupan, pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dilaksanakan bagi memastikan sesi pembelajaran murid tidak terjejas.

Sekolah agama di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) turut ditutup sehingga dimaklumkan semula.

Orang ramai dinasihatkan memantau bacaan IPU terkini menerusi portal rasmi APIMS, manakala ibu bapa perlu mengikuti pengumuman pihak berkuasa pendidikan berhubung pembukaan semula sekolah.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.