Jerebu: Batu Pahat catat IPU tertinggi, enam kawasan melebihi 180

10 Okt 2026, 12:00 AM
Jerebu: Batu Pahat catat IPU tertinggi, enam kawasan melebihi 180

SHAH ALAM, 10 OKT: Sebanyak 33 kawasan di seluruh negara masih mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat pagi ini, dengan enam daripadanya melebihi paras 180.

Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat jam 7.14 pagi, Batu Pahat, Johor merekodkan bacaan tertinggi iaitu 189, diikuti Seremban, Negeri Sembilan (185).

Empat lagi kawasan di Johor turut mencatatkan bacaan melebihi 180 iaitu Larkin, Pasir Gudang dan Tangkak masing-masing 185, manakala Segamat (182).

Di Selangor, enam kawasan merekodkan tahap udara tidak sihat dengan Shah Alam mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 170, diikuti Johan Setia (169), Petaling Jaya (162), Klang (161), Banting (158) dan Kuala Selangor (154).

Antara kawasan lain yang mencatatkan bacaan tinggi ialah Nilai, Negeri Sembilan (179), Bukit Rambai, Melaka (177), Kluang, Johor (177) dan Tasek Ipoh, Perak (176).

Sementara itu, Cheras di Kuala Lumpur merekodkan IPU 175, Batu Muda (170) dan Putrajaya (169).

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan kebimbangan terhadap keadaan jerebu yang melanda negara serta menyeru supaya keselamatan dan kesihatan murid diberi keutamaan.

Susulan titah berkenaan, Kementerian Pendidikan (KPM) pada 8 Oktober mengumumkan langkah penutupan sekolah di kawasan terjejas bagi mengurangkan pendedahan murid dan warga pendidikan kepada pencemaran udara.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek kemudian mengumumkan penutupan semua sekolah di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya pada 9 Oktober, termasuk sekolah di daerah Rompin, Pahang.

Beliau turut mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) terus memantau keadaan jerebu serta mengambil tindakan segera sekiranya perlu.

Orang ramai dinasihatkan memantau bacaan IPU semasa melalui portal rasmi APIMS dan mengikuti makluman pihak berkuasa bagi mendapatkan perkembangan terkini.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.